Hairul Azreen ikut pesan orang tua


Hairul Azreen, Hanez Zalikha

PADA zaman serba canggih ini, mungkin ramai anak muda melupakan adat resam dan pesan orang tua.

Bagaimanapun, situasi itu berbeza buat Hairul Azreen lantaran menjadikan kata orang tua sebagai pegangan hidupnya.

Malah atas dasar itu juga, juara Fear Factor Selebriti mengambil keputusan tidak hadir ke majlis pertunangannya dengan pelakon cantik, Hanez Zalikha pada 21 Mac lalu.


"Perkara itu terpulang kepada seseorang sama ada mahu percaya atau pun tidak.

"Tetapi, bagi saya, jika ia memberikan sesuatu yang terbaik pada diri, jadi tak salah untuk didengar dan diikuti kerana ia akan membawa kebaikan pada masa depan.

"Macam bertunang, sejak kecil saya disogokkan hal itu oleh datuk saya. Jadi, saya dah berpegang yang apabila saya bertunang nanti tidak kira dengan siapa, saya tidak akan menghadirinya," katanya kepada Zass ketika ditemui selepas majlis meraikan Ulang Tahun Ke-30 Media Hiburan, baru-baru ini.

Bakal mendirikan rumah tangga pada 5 Jun nanti, pelakon berusia 27 tahun ini juga percaya apa diperkatakan akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti.

"Oleh sebab itu, jika saya ada salah faham dengan Hanez, kami akan menyelesaikannya dengan cara baik. Tapi, sejak kami bertunang, saya dan Hanez juga sudah jarang keluar bersama-sama.

"Kalau keluar pun berbincang mengenai kerja. Kali terakhir kami keluar pada malam hari sewaktu menonton tayangan filem Fast & Furious 7 dan itu pun balik sebelum jam 9 malam," katanya sambil memberitahu persiapan perkahwinannya siap 80 peratus.

Dalam perkembangan lain, Hairul kini terpaksa mengurangkan aktiviti lakonannya ekoran kecederaan lutut yang dialaminya.

"Saya sudah tujuh bulan tidak berlakon selepas menjalani pembedahan lutut.

"Saya jenis tak tahu duduk diam, kecederaan saya datang semula dan kini memerlukan rawatan susulan," katanya.

Bagaimanapun dia kini lebih menumpukan perhatian kepada perniagaan studio yang dijalankannya sejak lebih setahun lalu.

"Kini saya fokus utama pada perniagaan studio saya. Alhamdulillah, sambutan menggalakkan. Banyak syarikat produksi sewa studio saya,” katanya.

Previous Post Next Post