Hulk popularkan Mark Ruffalo



Ruffalo membawa karakter adi wira The Hulk.

KARIER aktor Mark Ruffalo di dunia perfileman Hollywood sememangnya tidak dapat diragukan lagi.

Mula mencipta nama menerusi filem You Can Count On Me pada 2000, anak kelahiran Wisconsin, Amerika Syarikat ini terus beraksi cemerlang dalam setiap lakonannya.

Bintang Ruffalo terus menyinar apabila membawa watak Dr Bruce Banner atau muncul sebagai adiwira The Hulk iaitu makhluk hijau bertubuh sasa berotot dan besar apabila tertekan atau marah menerusi filem The Avengers pada 2012.

Bahkan, disebabkan lakonannya itu juga, Ruffalo turut tercalon di Teen Choice Awards bagi kategori Choice Hissy Fit.

Bukan itu saja, kini, aksi Ruffalo bagi watak sedemikian dapat ditonton sekali lagi menerusi sekuel filem berkenaan, Avengers: Age of Ultron mulai 23 April depan.


"Dr Bruce mampu ‘menghidupkan’ karakter Hulk dengan berada di dalam jiwa Hulk saat ia mengamuk. Kemahuan Hulk berkembang dan akhirnya mampu memukau Bruce sendiri.

"Siapa tahu apa akan terjadi nanti," katanya kepada Empire.

Pada masa sama, Ruffalo yang juga seorang penerbit turut berharap agar karakter adi wira The Hulk itu mampu berkembang seterusnya mempunyai filem solonya sendiri.

"Saya fikir, watak ini akan jadi lebih menarik apabila akhirnya ia dibuat ke dalam filemnya sendiri." katanya.

Bagaimanapun, pelakon berusia 47 tahun ini sedar, pasti sukar untuk merealisasikannya.

Walaupun perkara ini telah diutarakannya sejak dua tahun lalu, sehingga kini pihak Marvel masih belum mengambil keputusan.

Tambahan pula, Marvel sendiri mempunyai dua filem Hulk sebelum ini yang memiliki pengikut tersendiri.

Avengers: Age of Ultron mengisahkan sekumpulan adi wira Avengers yang berkumpul semula untuk melawan robot, kerana menjadi ancaman terbesar kehidupan manusia dan alam sejagat setelah ia berjaya melepaskan diri daripada pencipta robot tersebut, Dr Hank Pym.

Selain Ruffalo, filem arahan Joss Whedon ini turut dibintangi Robert Downey Jr, Chris Evans, Chris Hemsworth, Scarlett Johansson, Jeremy Renner, Cobie Smulders, Samuel L. Jackson, James Spader, Elizabeth Olsen dan Aaron Taylor Johnson.


Terbaik demi karier

Selain bergelar pelakon, Ruffalo juga pengarah, penerbit dan penulis yang telah menerima pelbagai penghargaan di atas hasil karyanya.

Pemilik nama penuh Mark Alan Ruffalo ini baharu saja dianugerahkan Pelakon Lelaki Terbaik Siri Pendek TV pada Screen Actors Guild Awards menerusi drama terbitannya, The Normal Heart.

Bahkan, sebelum ini, dia juga pernah beberapa kali tercalon dalam Academy Awards dan BAFTA Awards selain memenangi pelbagai anugerah lain.

"Saya melakukan yang terbaik demi karier saya.

"Setiap anugerah yang diterima merupakan satu penghargaan besar buat saya," katanya.

Previous Post Next Post