Intan Ladyana kembali solo?



KISAH percintaannya dengan aktor, Kamal Adli seperti diketahui umum sudah pun menemui titik noktah.

Tidak lama selepas itu, aktres cantik ini dikhabarkan sudah menemui pengganti dan gambar Intan Ladyana ketika bercuti ke Itali bersama beberapa rakan termasuk lelaki tersebut dikatakan menjadi bukti bahawa hati Intan kembali terisi.

Namun tatkala diusik media, bilakah dia akan mendirikan rumah tangga pada malam tayangan filem terbarunya, Abang Lejen, baru-baru ini, Intan menjawab jawapan itu dengan persoalan: “Dah ada calon ke?”

Justeru apabila ditanya tentang jejaka berkenaan, Intan dengan bersahaja menjelaskan bahawa semua itu hanya gosip sahaja.

“Kehidupan sekarang ini biasa sahaja. Buat masa ini belum ada jodoh lagi. Kisah itu? Itu hanya gosip sahaja. Tak baik buat gosip,” katanya sambil tersenyum.


Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terbarunya, Intan berkata, dia kini sedang bercuti dan hanya mempromosikan filem Abang Lejen.

“Sekali lagi, saya kembali bekerjasama dengan Farid Kamil dan Alhamdulillah tidak sukar mencari keserasian dengannya kerana kami sudah bertahun-tahun bekerja bersama.

“Dalam filem ini saya membawakan watak sebagai Intan, seorang anak penghulu yang agak pentingkan diri sendiri dan meminati abang saudaranya yang dilakonkan oleh Farid. Cabaran terbesar saya dalam filem ini adalah saya melakukan sendiri aksi lasak dengan mengantungkan diri di atas siling.

“Untuk babak tersebut, pihak produksi mengikat tali pada bahagian perut dan saya perlu turun naik beberapa kali dalam sehari dan kesannya perut saya sakit selama dua hari. Selain itu antara babak lain yang sukar adalah saya kena lipsync sambil menari ala tamil di taman dan tengah panas selama beberapa jam,”ujarnya.

Previous Post Next Post