Izara Aishah mula berubah?



PADA awal kemunculan pelakon jelita ini dalam bidang seni, sisi peribadinya sangat kurang diperkatakan sementelahan fokus utamanya adalah mengenai karier lakonannya.

Bagaimanapun, sejak Izara Aishah menjalinkan hubungan cinta dengan anak tiri Datuk Siti Nurhaliza, keadaan sebaliknya pula yang berlaku.

Lebih mengejutkan, ada pula dakwaan yang mengatakan kononnya pelakon berusia 23 tahun ini sudah berubah.

“Saya masih orang yang sama. Tak ada apa yang berubah pun.

“Saya tak sedar pula pasal ini sebab keluarga dan rakan-rakan rapat saya tak ada pula yang bercakap pasal hal ini,” katanya ketika ditemui selepas pratonton filem Pilot Cafe, kelmarin.

Begitupun, Izara mengakui perhubungan cintanya yang terjalin dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Studios, Adib Khalid menjadi salah satu faktor kepada penceritaan kisah-kisah peribadinya sehingga ke pengetahuan umum.


“Mungkin kerana saya sedang bercinta dengan orang yang dikenali menyebabkan kisah-kisah peribadi saya lebih terdedah.

“Lagi pula, sebelum ini saya lebih memberi keutamaan kepada karier berbanding cerita-cerita peribadi. Ditambah pula, mereka tidak begitu mengenali saya dan karakter sebenar saya.

“Itu yang menyebabkan timbulnya isu-isu seperti ini. Padahal, saya ini sama saja orangnya,” katanya.

Berkongsi mengenai perjalanan kariernya, Izara memberitahu, dia kini terpaksa meletakkan syarat terutamanya dalam soal berpakaian lantaran tidak selesa kelihatan terlalu seksi.

“Sebenarnya, batasan pakaian ini sejak dari dulu lagi, namun filem Sejoli menyebabkan saya lebih nekad lagi dengan keputusan berkenaan.

“Saya lakukannya atas kehendak diri sendiri dan bukanlah kerana paksaan sesiapa atau disuruh oleh teman lelaki,” katanya.

Bukan itu saja, demi memperbaiki mutu lakonannya juga, Izara kini lebih selesa mendapatkan bantuan daripada tenaga pengajar yang juga pelakon berpengalaman seperti Ellie Suriati dan Fauziah Nawi.

“Selepas melihat lakonan saya di Sejoli, saya memilih untuk lebih memandang serius kepada aspek lakonan saya.

“Tambahan pula, saya seboleh-bolehnya mahu memberikan yang terbaik dalam perkembangan kerjaya saya.

“Malah, untuk filem terbaharu saya, Pilot Cafe, saya turut mendapatkan tunjuk ajar dari Ellie Suriati bagi mendalami watak Maya dengan lebih berkesan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai filem adaptasi Pilot Cafe, Izara mengakui, dia berdebar-debar menunggu reaksi peminat apatah lagi ia merupakan gandingan pertamanya dengan aktor, Fahrin Ahmad.

“Buat julung-julung kalinya, saya tampil sebagai teraju utama. Wataknya pula Maya seorang gadis kampung yang kerap bermain dengan air mata.

“Lagi pula, ramai yang menanti-nantikan filem ini. Ia membuatkan saya berasa lebih tertekan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Izara kini sedang sibuk dengan penggambaran filem adaptasi novel Kau Yang Satu arahan Osman Ali di samping aktor Aaron Aziz dan Hisham Hamid.

Previous Post Next Post