Karakter misteri Nicholas Saputra



BERADA selama sebulan di Kuala Lumpur, Nicholas Saputra terbabit dengan penggambaran filem terbaharu karya dan arahan Dain Said berjudul Interchange.

CELANA kelabu dan baju-T kolar putih yang tersarung pada badannya menjadikan pertemuan yang diaturkan pihak Apparat Sdn. Bhd. dengan figura ternama daripada filem remaja ikonik, Ada Apa Dengan Cinta, Nicholas Saputra itu cukup bersahaja.

Seperti mana katanya, dia juga seorang yang ‘biasa-biasa aja’, sedari atau mengalir secara natural atau pun masih dalam karakter, kewibawaan Nicholas sebagai antara sang pemeran terhebat dari Jakarta, Indonesia itu tidak terhakis hanya disebabkan penampilannya yang biasa-biasa.

Atas angka usia 31 tahun, ketokohan yang terpahat pada nama lelaki yang mahu dibahasakan Nico itu cukup kuat. Bisa daripada Ada Apa Dengan Cinta belum tersisa, itu belum dihitung lagi dengan Gie, Janji Joni dan Biola Tak Berdawai yang menimbunkan lagi pengaruh berserta banjir populariti kepada dirinya.

Nico memberikan tanda, bahawa dia sudah bersedia untuk ditemu bual. Seharian sehinggalah pukul 4 pagi sebelum ditemui petang Isnin dua minggu lalu, pelakon berdarah campur Jawa-Jerman itu baru tamat penggambaran adegannya untuk filem terbaharu Dain Said. Sebulan di Kuala Lumpur (KL), Interchange menambah satu lagi judul ke papan direktori perfileman pelakon yang pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Indonesia 2005 menerusi filem Gie arahan Riri Riza itu.

“Puratanya sudah sebulan saya di negara ini, esok (7 April) akan pulang ke Jakarta, tidak tahu bila akan ke mari lagi,” ayat itu menjadi mukadimah daripada Nico yang turut meraih pencalonan Pelakon Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Indonesia 2008 menerusi filem 3 Doa 3 Cinta.

Perfileman bagai kawah berapi yang memuntahkan larva panas dan akhirnya menyuburkan semangat seni Nico. Kata Nico, sebelum larut sebagai anak seni, tidak terfikir di benaknya bakal menjadikan lakonan sebagai karier hakiki,

“Sepuluh tahun lalu, saya tidak tahu bagaimana dan betapa saya boleh sampai ke tahap seperti hari ini. Ia sebuah pengembaraan luar biasa yang amat bermakna. Saya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang pelakon. Jadi, saya juga tidak boleh meramalkan siapa saya pada lima atau 10 tahun akan datang,” katanya memberi jawapan berselang persoalan sewaktu berbicara tentang aturan karier.


Interchange bawa Nicholas ke KL

Mengaitkan jejak kembaranya dalam perfileman sebagai perjalanan yang luar biasa, pelakon itu menyifatkan sesebuah watak dan naskhah yang disertai juga sebagai perjalanan daripada kosong untuk menemui angka dan aksara yang membentuk sebuah dunia baharu.

Selepas Pendekar Tongkat Emas (2014), Nico merantau lagi, daripada watak epik, kini dia kembali ke jejak asalnya menjadi lelaki masa kini dalam sebuah karya yang seakan-akan bersifat urban legend berjudul Interchange, karya Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25, Dain Said.

Membawakan watak Belian dalam filem yang dijangka tayangan sekitar 2016 itu, menurut Nico, dia mengembara ke Kalimantan di Kepulauan Borneo bagi menyatukan emosinya dengan Belian, sebuah karakter misteri dalam filem tersebut.

“Saya telah ke Kalimantan untuk melihat sendiri corak kehidupan, sosiobudaya dan bahasa masyarakat di sana. Dalam filem ini, saya membawakan watak Belian, pemuda dari Borneo yang terkait dalam satu kes jenayah dan berdepan siasatan di KL,” akuinya jatuh cinta terhadap keunikan karakter lakonannya itu.

Sambil memberi bayangan tentang sebuah karya berbeza yang tidak pernah disaksikan umum, sama ada menerusi lakonan sendiri atau filem secara keseluruhannya, Nico tetap menahan diri untuk tidak terlalu banyak membongkar rahsia Interchange selagi belum tiba waktu yang tepat.

Masih tentang kecenderungannya sehingga dikatakan sebagai antara aktor paling selektif di Indonesia, bekas kekasih aktres Mariana Renata yang dipertemukan dalam Janji Joni itu bersikap terbuka tentang keperibadiannya itu.

“Saya selektif bukan untuk kepuasan saya, tetapi untuk audiens. Seperti anda hendak membeli sebuah hadiah istimewa. Anda tidak akan pergi ke mall (pusat membeli-belah) dan ambil apa sahaja. Harus pilih bukan? Sama juga dengan lakonan, saya mahu memberikan persembahan yang terbaik untuk audiens, sebab itu saya memilih yang terbaik,” ujar Nico mengakui bersikap selektif bukan sesuatu yang negatif.

Bermula dengan Rangga, pemuda misteri dalam Ada Apa Dengan Cinta, Bhisma si pemain biola (Biola Tak Berdawai), Joni, budak penghantar filem (Janji Joni), Soe Hok Gie, mahasiswa pejuang reformasi (Gie), Elang (Pendekar Tongkat Emas) dan Huda, si penuntut di sebuah pesantren (3 Doa 3 Cinta), sekadar menyebut beberapa judul, aktor bernama Nicholas Schubring Saputra itu ternyata muncul dalam karya bervariasi dan penuh estetika dalam penceritaan.

Bertanyakan Nico tentang pilihan dan impian karakter yang belum tercapai, menurutnya, sebagai pelakon, dia tidak harus merancang atau mengimpikan sebarang karakter. Sebaliknya, dia menunggu dan sentiasa bersedia dengan tawaran watak yang menuntut sesuatu yang lebih daripada skrip. Mengenali Nico daripada lakonan, corak karya filem yang dijayakan dan pencapaian yang diraihnya, pelakon yang terkenal dengan sikap selektif itu ditebak sebuah persoalan tentang pilihan yang terbaharunya kini.

“Watak bukanlah sesuatu yang boleh dipesan seperti makanan, semuanya bergantung kepada cerita dan skrip. Saya juga bukan jenis yang mengatur watak bagaimana lagi yang harus saya lakonkan,” akuinya yang kali pertama bertemu Dain sekitar awal tahun lalu.

“Ketika itu saya masih di lokasi penggambaran filem Pendekar Tongkat Emas. Dain datang menemui sambil bercerita tentang karakter dan penceritaan dalam Interchange. Saya lihat Dain, dia seorang yang penuh keghairahan terhadap karyanya. Hujung tahun lepas, saya terima skrip dan daripada situlah pembabitan saya bermula,” cerita Nico yang sudah menyaksikan filem arahan Dain, Bunohan yang disifatkannya sebuah karya hebat bagus, selain diiktiraf di negara sendiri yang di luar negara.

Ditanya lagi tentang kuasa pemikat Interchange sehingga berjaya ‘menikahi’ penglibatannya, dengan spontan Nico menamakan skrip dan karakter yang ditawarkan Dain sebagai faktor nombor satu.

“Asasnya ialah karakter dan skrip yang bagus. Selalunya begitu. Saya boleh katakan ia sebuah filem yang sangat kaya daripada segi pengisian, karakter, bahasa dan cerita dan cara KL dirakamkan sebagai latarnya.

“Saya tidak pernah kenal Dain sebelum ini tetapi selepas bertemunya tahun lalu, saya melihat Dain sebagai seorang pengarah yang unik dan semangatnya dalam berkarya. Berlakon dalam filem arahan pengarah dari Malaysia juga bukan sesuatu yang janggal kerana di Jakarta, saya juga bekerja dengan pengarah dan pelakon yang berbeza. Jadi sama, cuma bezanya lokasi. Selebihnya, Indonesia dan Malaysia punya banyak persamaan budaya,” katanya.

Tidak hanya Nico, Interchange mempersembahkan gandingan pelakon ternama dari Malaysia dan Indonesia iaitu Shaheizy Sam, Iedil Putra, Nadiya Nisaa’, Chew Kin Wah, Alvin Wong, Junad M. Nor dan aktres pemenang trofi Pemeran Utama Wanita Terbaik Festival Filem Indonesia 2011, Prisia Nasution yang pernah berlakon dalam filem Sang Penari.

Kebetulan bertemu Nico, gelora teka-teki yang terhasil ekoran filem pendek Ada Apa Dengan Cinta? 2014 diminta sedikit pencerahan.

Hubungan tanpa penghujung antara Cinta dan Rangga amat ditunggu-tunggu penamatnya. Adakah filem pendek untuk komersial aplikasi Line yang meledakkan rindu peminat terhadap kisah Cinta dan Rangga itu sebuah bayangan bahawa sekuel kedua filem arahan Rudy Soedjarwo itu bakal menyusul.

“Mungkin,” katanya mengekang senyuman.

Sambil membetulkan duduk dan memeluk tubuhnya, reaksi itu membiakkan lagi teka-teki bahawa lakonan bersama Dian Sastrowardoyo dalam filem berkenaan entah bersambung entahkan tidak.

Nico sudah terbang semula ke Jakarta, membawa persoalan yang dileraikan dengan sebuah jawapan, sekadar senyuman.

Previous Post Next Post