Kisah Langit Tetap Biru dan berat badan Aizat Amdan



AIZAT tidak berniat untuk menyelar kenyataan Abam, sebaliknya merasakan perkara itu akan memberikan impak negatif kepada golongan berbadan besar.

UNGKAPAN ‘gemuk is awesome’ yang dilaungkan oleh pemenang Anugerah Artis Komedi Lelaki Popular, Abam (Bocey) dalam majlis Anugerah Bintang Popular 2014 (ABP2014) pada 12 April lalu telah mencetuskan sensasi.

Ternyata banyak pihak termasuk bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Aizat Amdan turut merasakan ungkapan tersebut sedikit sebanyak boleh mempengaruhi pemikiran golongan berbadan gempal bahawa kegemukan bukan satu masalah.

Terpanggil untuk memperbetulkan persepsi itu, Aizat atau nama lengkapnya, Muhammad Aizat Amdan berkongsi pengalaman sebelum ini, sewaktu dia memiliki berat badan 113 kilogram (kg).

Memahami perasaan individu berbadan XXXL, Aizat tidak merasakan kegemukan sesuatu yang perlu dibanggakan kerana ia melibatkan faktor kesihatan jangka masa panjang.

Bagi anak muda kelahiran Kuala Lumpur itu, rupa paras dan bentuk fizikal tidak menjadi ukuran dalam menentukan tahap kesihatan seseorang individu kerana ia lebih bersifat sementara.


“Seperti yang diketahui umum, pada awal kemunculan dalam industri hiburan, saya sendiri mengalami masalah berat badan sehingga menyebabkan obesiti.

“Secara peribadi, tagline Abam itu tidak menjadi masalah, namun ia kelihatan seperti menipu diri sendiri kerana sudah menjadi lumrah setiap orang ingin hidup sihat tanpa mengalami sebarang penyakit,” ujarnya ketika ditemui dalam majlis pelancaran single terbaharu berjudul Langit Tetap Biru di Paranormal Studio, Bandar Sri Damansara, Selangor baru-baru ini.

Aizat yang sebelum ini popular dengan lagu Hanya Engkau Yang Mampu tidak berniat untuk menyelar tagline pelawak popular itu.

Namun, atas dasar rasa tanggungjawab sosial, dia ingin berkongsi pengalaman tentang kebaikan menjalani kehidupan sihat.

Minat buat video blog

Seiring menyahut Kempen Nak Sihat anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia, Aizat kini sedang berjinak-jinak untuk menjadi personaliti blog video atau vlog dalam laman YouTube, OfficialAizatAmdan.

Menyifatkannya sebagai hobi baharu, Aizat ingin berkongsi maklumat dan pengalaman sewaktu memiliki berat badan 113kg sebelum berjaya mengurangkan berat sebanyak 45kg menjadikan fizikalnya kini dalam lingkungan 68kg.

Maklumat seperti teknik senaman, kawalan pemakanan serta jadual latihan Aizat sewaktu dia berada dalam fasa menurunkan berat badan didedahkan.

“Saya akan menunjukkan bagaimana Aizat Amdan yang selama ini berbadan gempal mampu tampil kurus dengan melakukan senaman dan pengawalan makanan secara konsisten.

“Pendedahan ini juga dapat membantu menepis dakwaan sesetengah pihak mengatakan saya mengambil jalan mudah untuk kurus seperti sekarang.

“Secara jujurnya, untuk mendapatkan berat badan yang ideal, individu itu perlu berdisiplin melakukan senaman dan mengamalkan diet seimbang selain ia perlu dilakukan berterusan serta konsisten,” jelas Aizat bersungguh-sungguh saat menceritakan momen penting dalam hidupnya itu.

Single baharu

Beralih mengenai soal kerjaya, penyanyi yang pernah membintangi filem Istanbul Aku Datang itu tidak putus harapan dalam meneruskan kerjaya anak seni biarpun hampir setahun menyendiri tanpa sebarang produk.

Selepas kali terakhir menerbitkan album berkonsepkan piring hitam bertajuk Legasi pada Mei 2014, Aizat seperti membiarkan diri terpuruk dan sepi daripada arus media.

Biarpun kurang mendapat perhatian sepanjang tempoh tersebut, Aizat tidak hanya duduk ‘goyang kaki’, sebaliknya dia giat menjalankan aktiviti belakang tabir seperti menerbitkan lagu buat penyanyi Aishah Aziz (AF7) bertajuk Pilihan Sejati dan menghasilkan runut bunyi drama Seludup.

Setelah hampir tujuh tahun berkecimpung dalam industri, percaturan Aizat pada tahun 2015 kelihatan berbeza berbanding sebelumnya kerana mengeluarkan tiga buah single secara satu persatu.

Tambahnya lagi, dia kini tampil dengan buah tangan baharu berjudul Langit Tetap Biru hasil ciptaan bersama bapa saudaranya yang dikenali sebagai Pak cik Konfi.

Mendapat ilham sewaktu sedang bercuti bersama keluarga di Pulau Bali, Indonesia, Aizat mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan sepenuhnya single tersebut.

Single itu, ujar Aizat bersesuaian dengan emosi rakyat Malaysia. Tahun lalu negara telah diduga dengan tragedi pesawat milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 ditembak jatuh dan misteri kehilangan pesawat MH370.

Disebabkan peristiwa tersebut, anak muda itu terpanggil untuk melahirkan sebuah lagu yang mempunyai nilai harapan dan kekuatan kepada pendengar.

Masih mengekalkan genre muzik yang sama, dia sekali lagi mempertaruhkan irama pop soul dalam lagu Langit Tetap Biru kerana rentak itu sudah menjadi sebahagian daripada dirinya termasuk kecenderungan dalam berkarya.

“Saya mengambil tempoh yang agak lama untuk menghasilkan sebuah lagu kerana ingin memastikan bahawa karya itu akan menjadi malar segar biarpun telah berusia puluhan tahun.

“Buat masa ini, saya ingin memberi tumpuan kepada lagu Langit Tetap Biru sebelum mempromosikan single lain. Cara ini dilihat lebih konsisten selain dapat membantu mengenal pasti kekuatan sesebuah karya.

“Tambahan pula, saya tidak merancang untuk menerbitkan album penuh dalam waktu terdekat kerana masih terdapat beberapa persediaan yang belum lengkap.

“Cara ini merupakan eksperimentasi baharu sebelum saya benar-benar bersedia berdepan dengan cabaran pasaran album tempatan yang agak pasif sekarang,” tuturnya dengan sedikit nada kecewa.

Sementara itu, diajak berbicara mengenai kehidupan peribadinya, Aizat menguntum senyum. Mengaku seorang yang kurang gemar berbicara tentang kehidupannya, namun Aizat tetap menjawab persoalan media dengan ramah dan diplomasi.

Masih mencari

Menginjak usia 26 tahun, Aizat mengakui dirinya masih mencari cinta untuk dijadikan suri dalam hidup. Tidak mahu terburu-buru membuat pilihan, penyanyi itu kekal dengan syarat ayahanda tercinta, Datuk Amdan Mat Din agar dia mendirikan rumah tangga selepas mencapai usia 30 tahun.

Berasa perkara itu bukan satu kekangan baginya, Aizat memahami hasrat bapanya yang ingin dia memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya sebelum menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Jujur dikatakan bahawa saya masih solo dan tidak terfikir untuk mencari pasangan kerana sibuk menguruskan kerjaya setelah sekian lama menyepi.

“Tentang soal cinta, saya melihat ia sebagai sesuatu yang bersifat privasi dan sebaiknya perkara itu tidak perlu dihebahkan secara umum.

“Apa yang boleh saya kongsi setakat ini ciri-ciri calon isteri pilihan mesti matang seiring dengan usianya,” ujar Aizat sambil tersenyum.

Bagaimanapun, Aizat turut memberitahu yang dia lebih selesa menentukan pasangan hidupnya sendiri berbanding dijodohkan dengan pilihan keluarga.

Previous Post Next Post