Korban cinta Pilot Cafe



BARISAN karyawan Pilot Cafe berharap filem yang memasuki pawagam Malaysia bermula hari ini mendapat sambutan menggalakkan.

Menterjemahkan sebuah penulisan dalam kanvas bergerak atau layar lebar akan mengundang persepsi yang berbeza. Sementelah jika ia mengangkat tema kisah seperti pengorbanan cinta, kecurangan dan lebih jauh lagi membabitkan kisah keterlanjuran dalam perhubungan sehingga menghasilkan anak luar nikah.

Nampak kurang bermoral untuk dipertontonkan kepada umum kerana mempunyai isu-isu sosial seumpama itu ditonjolkan, namun sutradara Osman Ali yang menggarap naskhah terkenal Ahadiat Akashah, Pilot Cafe ke layar lebar sebagai menyokong gejala negatif tersebut punya jawapan tersendiri. Osman Ali mengajak penonton mengutip iktibar pada penghujung kisah yang bermula dengan banyak noda hitam.

Ujar Osman Ali: “Ia bukan tentang pemaparan gejala zina atau anak luar nikah, sebaliknya perkara seumpama ini berlaku dalam realiti kehidupan kita.


“Kaum wanita selalu diperguna dan diperdaya lelaki, namun mereka ini golongan yang kuat. Pada akhirnya, Pilot Cafe memaparkan natijah terhadap perbuatan jahat yang dilakukan.”

Pilot Cafe yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula hari ini mempertaruhkan barisan pelakon seperti Fahrin Ahmad yang diberi kepercayaan menghidupkan watak imaginasi, Kapten Amir.

Izara Aishah pula membekaskan watak Maya, Neelofa sebagai Sharmila dan Remy Ishak ditampilkan sebagai Rashid. Ia sebuah kisah cinta yang tersangkut konflik pengorbanan kerana kasih terhadap pasangan masing-masing.

Mengakui tidak mudah untuk menghidupkan empat watak ikonik bagi penggemar tegar novel tersebut, ujar Osman Ali, kekangan utama baginya ialah pemilihan babak yang penting perlu dititik berat dalam memastikan ia dicantumkan menjadi sebuah rantaian tanpa menjejaskan inti sebenar cerita asal daripada novel yang diadaptasi tersebut.

Bagaimanapun, dengan bantuan penulis skrip yang juga penulis asal novel tersebut, Ahadiat, kelancaran pemilihan babak dan plot dapat dilicin dan diselarikan mengikut masa yang ditetapkan melalui filem.

“Saya banyak berbincang dengan Ahadiat memandangkan dia lebih arif tentang novel tersebut.

“Cabaran utama filem ini adalah untuk memastikan elemen sinematografi dan watak-watak yang dicipta selari dan mengikut kesesuaian sesebuah filem,” ujarnya.

Menyambung perbualan, Osman Ali memberitahu, dia lebih banyak menekankan aspek sinematografi dan penggunaan efek bunyi dalam filem Pilot Cafe.

“Saya lebih menekankan aspek sinematografi dan juga pasca proses bagi filem ini. Hal ini kerana ia bagi mendapatkan keseluruhan emosi dan sesuai untuk diselarikan dengan penggunaan efek bunyi dan latar lagu temanya,” singkapnya.

Berharap Pilot Cafe mendapat sambutan sama seperti filem arahannya sebelum ini, Ombak Rindu, pengarah itu memberitahu, beliau melihat percaturan memilih pelakon yang tidak pernah bekerjasama dengannya sebelum ini boleh menjadi batu loncatan untuk membikin sesuatu yang luar biasa berbanding naskhah terdahulu.

Ujarnya lagi: “Saya sudah lama ingin bekerjasama dengan teraju utama filem ini iaitu Fahrin Ahmad. Pada saya, dia mempunyai ciri-ciri yang baik sebagai seorang watak utama untuk diangkat ke layar perak.”

Fahrin susah menangis

Mengajak Fahrin berkongsi rasa membawa karakter Kapten Amir yang banyak menodai wanita selain menjalani kehidupan liar, akui aktor itu, watak tersebut memang menguji keupayaannya sebagai seorang pelakon.

Banyak perkara yang kekok baginya untuk dilakukan, termasuk adegan intim bersama beberapa wanita yang menjadi ‘mangsanya’, selain melakonkan banyak babak mesra bersama Izara dan Neelofa.

“Antara babak yang paling sukar dilakonkan ialah kemesraan dengan beberapa pelakon wanita yang terbabit dalam naskhah ini. Saya akui memang agak kekok pada awalnya tetapi kerjasama daripada Izara dan Neelofa membuatkan saya selesa bersama mereka.

“Walaupun masih hijau dalam arena layar perak pada ketika itu, kesungguhan mereka untuk memberikan yang terbaik melalui filem ini dapat dilihat jelas dan hasilnya sangat memberangsangkan,” katanya.

Tambah Fahrin, selain itu dia mengalami sedikit kesukaran untuk merealisasikan babak yang melibatkan dirinya perlu menangis dengan berkesan.

Namun, ia berjaya diatasi dengan bimbingan Osman Ali, selain menjadikan pengalaman lampau kisah cintanya sebagai kunci membangkitkan emosi sedih.

Ujarnya: “Dia (Osman Ali) bijak membuatkan pelakon untuk terjun dalam dunia fantasi dan mengalami sendiri situasi sebenar sesuai dengan apa yang dimahukan olehnya.

“Selain itu, saya juga banyak menggunakan pengalaman mengenai kisah peribadi untuk mendapatkan emosi yang sesuai dengan babak tersebut.”

Impian Remy

Beralih kepada Remy atau Rashid, aktor itu mengakui sudah lama meminati novel tersebuti sejak zaman persekolahan lagi, malah memasang impian untuk mendukung watak utama dalam filem itu apabila ia diterbitkan.

“Sewaktu zaman persekolahan lagi, saya sudah membaca novel ini. Jalan penceritaannya sangat memberi inspirasi kepada saya sehingga pernah memasang impian untuk menjadi seorang juruterbang apabila meningkat dewasa nanti.

“Pada ketika itu, saya juga berharap dapat mendukung watak utama iaitu Kapten Amir melalui novel ini jika ia difilemkan. Walaupun hanya mendukung watak sampingan iaitu Rashid, saya bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada filem ini,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran dan kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjalani penggambaran filem tersebut dua tahun lalu, Remy memberitahu, pengalaman melalui sebuah babak intim ketika di Pulau Redang merupakan kenangan paling manis dan tidak dapat dilupakannya.

“Aksi intim di Pulau Redang bersama Izara merupakan antara babak yang tidak dapat saya lupakan. Ombak yang kuat sewaktu itu hampir menenggelamkan saya.

“Saya sangat fobia kerana ombaknya begitu kuat sehingga tercedera di kaki akibat terpijak batu karang di situ. Walaupun babak tersebut nampak mudah tetapi ia sangat mencabar bagi saya,” ujar Remy yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah filem berjudul Redha.



Neelofa berguru

Melakonkan watak Sharmila melalui filem tersebut, Neelofa memberitahu, pelakon dan pengarah, Elly Suriati banyak membantu dalam memberikan bayangan watak Sharmila ke dalam dirinya.

“Saya memperuntukkan hampir sebulan sebelum penggambaran bermula untuk berguru dengan Elly Suriati. Dia orang yang bertanggungjawab memupuk karakter watak Sharmila dalam jiwa saya, sehingga apabila saya masuk ke set penggambaran, saya tidak perlu lagi melihat skrip. Ilmu yang dikongsinya sangat memberi kesan kepada saya.”

“Selain itu, saya melihat semua kru produksi memberikan yang terbaik dalam filem ini, jadi saya rasa bersalah jika tidak mampu mengeluarkan sepenuh jiwa untuk filem ini.

“Sehingga kini secara jujurnya, saya masih belum berpuas hati dengan lakonan dalam beberapa babak melalui filem ini,” katanya.

Menyambung perbualan, Neelofa turut bercakap mengenai penampilannya yang masih tidak bertudung selain melakukan babak intim di dalam naskhah tersebut sedangkan dia kini sudah berhijrah. Pelakon itu meminta agar khalayak menerimanya dengan positif kerana filem tersebut telah dihasilkan lebih dua tahun lalu tetapi hanya diterbitkan selepas berhijab.

Dia juga menjelaskan, tindakannya memuat naik poster filem tersebut di Instagram yang menyaksikan dirinya menerima kecaman daripada segelintir pengikutnya.

Jelas Neelofa, sebagai seorang pelakon, dia perlu memikirkan banyak pihak dan apa dilakukan itu sebagai satu tanggungjawab terhadap naskhah berkenaan.

“Pada saya filem itu dilancarkan tepat masanya kerana menerusi filem berkenaan saya adalah seorang yang berbeza dua tahun dahulu berbanding sekarang.

“Sudah tentu saya ingin memadam apa juga kisah lalu tetapi ia sesuatu yang mustahil. Jadi, apa yang boleh saya lakukan adalah teruskan kehidupan dan mengambil iktibar.

“Besar harapan saya agar semua pihak memahami situasi ini,” jelasnya yang bakal muncul dengan telefilem terbaharu, Rindu Tiada Bertepi.

Previous Post Next Post