Ku Hariz serah pada takdir


Ku Hariz dan Jihan

TEKA-teki mengenai hubungan cinta di antara pelawak popular, Jihan Muse dan pelakon yang kian mencipta nama, Ku Hariz akhirnya terjawab apabila kedua-duanya kini mengakui sedang bercinta.

Bahkan, pasangan selebriti ini sering dilihat menghadiri majlis anugerah bersama-sama seperti Anugerah MeleTOP Era dan terbaharu Anugerah Bintang Popular 2014 sekali gus menjadi tumpuan ramai.

Masakan tidak, sebelum ini kedua-duanya lebih selesa mengakui sebagai teman rapat walaupun sebenarnya sudah pun menjalin hubungan cinta sejak lapan tahun lalu.

Ketika diajukan hala tuju hubungan tersebut, Ku Hariz atau nama sebenarnya Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli bagaimanapun lebih selesa menyerahkannya kepada takdir.


"Saya sendiri tidak pernah menetapkan tarikh atau waktu tertentu untuk mengikatnya dengan pernikahan.

"Saya takut nak merancang apa-apa sebab takut tak jadi. Bila tak jadi, mulalah ia akan jadi buah mulut. Malu pada keluarga masing-masing nanti.

"Tapi, niat (kahwin) memang ada, cuma bila tak tahu pula. Biarlah keadaan menentukannya," katanya kepada Zass ketika ditemui pada sidang media Anugerah Tribute P Ramlee, bari-baru ini.

Bagaimanapun, akui Ku Hariz, hubungan cinta mereka diketahui oleh keluarga masing-masing.

"Alhamdulillah, dia kenal keluarga saya dan saya juga kenal dengan keluarganya.

"Lagipun, kami sudah berkawan lama, sejak aktif dari teater lagi, mungkin itu yang menyebabkan kami serasi.

"Saya tak percaya dengan cinta pandang pertama, sebaliknya saya percaya cinta perlu dipupuk dan disemai sendiri dengan hati," katanya yang gemar bertanya kepada kawan-kawan rapatnya mengenai persediaan berkahwin.

Berkongsi cerita mengenai Jihan, peserta program realiti Pilih Kasih itu menyifatkan bekas naib juara Raja Lawak 3 itu sebagai seorang yang petah bercakap.

"Dia banyak cakap dan saya juga begitu. Apabila kami keluar bersama-sama, kami adalah seorang yang serius.

"Hanya apabila bekerja, personalitinya akan berubah," katanya yang tidak gentar andai kariernya jatuh kerana sudah berkahwin kelak.

Biarpun kurang dikenali, Ku Hariz tidak kecewa dengan situasi demikian kerana menganggap perkara itu dapat menjadikannya aktor yang lebih baik.

"Saya sudah pun terlibat dalam industri seni hampir 10 tahun. Jika hendak dibandingkan dengan Jihan, saya masih lagi baharu kerana ramai kurang mengenali saya. Tapi, saya pasti, tentu ada hikmah di sebaliknya," katanya.

Kata Ku Hariz juga, susuk tubuhnya yang kecil menyebabkan ramai penerbit dan pengarah masih lagi menawarkan watak remaja kepadanya.

"Tanpa sedar, saya sudah pun berusia 30 tahun, tapi hingga kini, saya masih lagi ditawarkan dengan watak pelajar.

"Walaupun saya terimanya, tetapi ada kala saya juga menginginkan watak yang bersesuaian dengan umur saya.

"Tapi saya tahu, kadang-kadang bertubuh kecil ini juga memberi kelebihan buat saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ku Hariz baharu saja tamat menjalani penggambaran filem Polis Evo dan drama Isteri Separuh Masa selain turut tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik bagi Anugerah Tribute P Ramlee 2015 bagi telefilem Seteguk Kasih Bonda arahan Osman Ali.

Previous Post Next Post