Marsha enggan fikir soal tukar agama


MENERUSKAN survivalnya sebagai penyanyi, Marsha kini sibuk menyusun agenda promosi untuk single terbaharunya berjudul Ku Tinggalkan Cinta.

TEMPOH 10 tahun bergelar anak seni meletakkan nama Marsha Milan Londoh pada fasa matang seiring dengan usianya yang kini menghampiri angka 30 tahun.

Meletakkan diri dalam kedudukan selesa, pelakon itu bagaimanapun masih gigih mengekalkan momentum agar tidak ketinggalan di belakang bagi memastikan karyanya segar dan diterima peminat.

Sepadan dengan tangga usianya juga, gadis kelahiran Berrien Springs, Michigan, Amerika Syarikat itu mengakui, naluri kewanitaannya mula terdetik untuk berumah tangga. Bagaimanapun akuinya, dia belum terdesak untuk berkahwin hanya kerana perasaan tersebut wujud dalam diri.

Tiada sebab untuk berasa riak, Marsha merasakan saat indah itu tidak berada dalam perancangan masa depan ekoran terhalang dengan kesibukan jadual yang padat.

“Sebagai wanita, perasaan untuk berumah tangga itu pasti ada, lebih-lebih lagi selepas melihat sahabat baik saya, Sharifah Sakinah berkahwin.

“Bagaimanapun, buat masa sekarang, saya tidak terfikir untuk ke arah itu memandangkan sibuk menguruskan masa dan mengimbangi kerjaya,” jelasnya usai disoal tentang emosinya melihat persandingan sahabat karibnya itu.

Mengambil sikap tunggu dan lihat, Marsha kini menjalinkan hubungan istimewa dengan lelaki yang hanya dikenali sebagai Mr. S, tidak mahu terburu-buru membuat keputusan kerana bimbang akan menyesal pada kemudian hari.

Keputusan tersebut tidak bermaksud Marsha berasa kurang yakin terhadap cinta hatinya, namun berdasarkan pengalaman terdahulu, dia berasa sedikit getar jika ditebak persoalan perkahwinan.

Meskipun berpacaran dengan lelaki Melayu, Marsha tidak mahu menjawab soal sensitif berkaitan agama kerana perkara itu melibatkan keluarga, sebaliknya, persoalan itu dibiarkan menjadi rahsia hatinya sendiri.


“Kami sendiri tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengakhiri zaman bujang dalam tempoh terdekat kerana masing-masing ingin memberi fokus pada kerjaya.

“Pengalaman terdahulu membuatkan saya lebih matang selain melihat cabaran utama dalam hubungan ialah persefahaman antara satu sama lain,” jelas wanita berbintang Sagittarius itu.

Beralih kepada soal kerjaya, Marsha kini dalam rangka mempromosikan single baharunya berjudul Ku Tinggalkan Cinta hasil ciptaan sepenuhnya oleh pengarah, Amor Rizan.

Pada awal rakaman, lagu Ku Tinggalkan Cinta terpaksa menjalani beberapa perubahan disebabkan susunan melodi yang kurang tidak bersesuaian dengan vokal Marsha.

Selain itu, lagu tersebut turut diangkat sebagai runut bunyi drama bersiri arahan Amor Rizan bertajuk Ku Tinggalkan Cinta di Okinawa.

Amor juga terlibat dalam pembikinan skrip drama tersebut termasuk bertindak sebagai pengarah bagi klip video lagu Ku Tinggalkan Cinta yang telah selesai menjalani penggambaran di sebuah gudang di Petaling Jaya, Selangor.

“Saya amat menggemari lagu ciptaan Amor kerana ia seperti mengimbau kenangan pada awal kemunculan sebagai peserta Akademi Fantasia dan muncul dengan single Untuk Terakhir Kali.

“Lirik lagu ini juga terasa seperti dekat dengan saya dan itu telah membantu memudahkan proses rakaman di studio, tambahan pula, ia merupakan projek solo saya selepas kejayaan lagu Bebaskan,” tutur Marsha sambil tersenyum.

Saat ditanya impian untuk menerbitkan album, Marsha mengakui, kini dalam proses perbincangan sama ada ingin melahirkan album solo atau kompilasi.

“Buat masa sekarang, ada beberapa lagu yang telah siap dirakam, tetapi saya masih dalam proses mencuri masa untuk masuk ke studio dan menghabiskan rakaman.

“Konsep untuk album itu nanti lebih ke arah genre pop balada, sekali gus seperti mengimbau lagu-lagu yang sering kedengaran sekitar era 1990-an,” jelasnya.

Cuba mengembangkan sayap karier dalam perniagaan pakaian dan aksesori, Marsha tidak pernah mengabaikan karier lakonannya. Dalam masa terdekat, dia bakal membintangi sebuah drama bersiri 13 episod arahan pengarah terkenal, Kabir Bhatia dan akan disiarkan dalam slot Aksi di TV3. Terdapat juga dua buah filem lakonan Marsha bertajuk Jwanita dan 7ujuh akan menemui penonton pada tahun ini.

Previous Post Next Post