Peserta Sabah monopoli Ceria Popstar musim ketiga



PARA peserta yang bakal berentap bagi merebut gelaran juara Ceria Popstar musim ketiga terdiri daripada empat peserta lelaki dan enam perempuan.

SETELAH memasuki kali ketiga penerbitannya, pertandingan nyanyian kanak-kanak popular, Ceria Popstar musim baharu bakal menampilkan barisan bakat cilik terbaik dalam usaha memburu peserta yang layak untuk dinobatkan sebagai juara.

Penolong Naib Presiden Astro Ceria dan Segmen Remaja, Hadzelynda Khairuddin berkata, para peserta yang dipilih untuk bersaing pada musim ini terdiri daripada mereka yang berbakat besar dan unik dari segi penampilan serta persembahan vokalnya.

“Selepas dua musim dianjurkan, proses pemilihan bakat menjadi lebih rumit berbanding sebelum ini. Kebanyakan daripada mereka sudah faham mengenai format dan cara persembahan yang dituntut oleh pihak produksi.

“Ia merupakan satu perkembangan positif kerana kebanyakan peserta yang hadir sudah bersedia sepenuhnya untuk bertanding,” jelasnya pada majlis sidang akhbar pengumuman barisan peserta, juri tetap dan pengacara Ceria Popstar musim ketiga yang berlangsung di Restoran The Bee, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seramai empat peserta lelaki berjaya menempatkan diri ke pentas Ceria Popstar musim ketiga. Mereka ialah Ifwat, 10, yang berasal dari Selangor, Fikry, 11, (Melaka), Zack, 13, (Sabah) dan Shufaad, 15, (Sabah).

Enam peserta perempuan yang turut bertanding ialah Adinda, 10, (Perak), Farhana, 10, (Sabah), Pasqa, 11, (Sabah), Weena, 14, (Sabah), Vanessa, 15, (Selangor) dan Dayang, 15, (Sabah).

Jika dilihat pada pola pemilihan peserta, 60 peratus daripada mereka berasal dari negeri Sabah.


Mengulas lanjut mengenai pemilihan tersebut, Hadzelynda berkata, mereka telah dipilih secara rawak menerusi sesi bootcamp yang dijalankan sekitar sebulan sebelum pertandingan bermula.

Menurutnya, seramai 23 peserta awal telah terpilih untuk menjalani sesi bootcamp dan hanya 10 peserta terbaik sahaja yang berjaya melayakkan diri untuk beraksi di pentas Ceria Popstar musim ketiga.

“Langkah ini diambil bagi memastikan para peserta yang dipilih berkualiti dan mempunyai keunikan tersendiri.

“Jadi, tidak timbul isu kenegerian sewaktu pemilihan kerana kesemua yang terpilih untuk musim ini berbakat besar,” katanya lagi.

Elak drama

Sementara itu, bagi penaung program, Datuk Aznil Nawawi, beliau berazam untuk menerapkan budaya positif dan nilai-nilai murni dalam kalangan peserta pada musim kali ini.

Katanya, pendekatan itu perlu bagi mengelakkan peserta-peserta yang tersingkir kelak berasa kecewa dan rendah diri,

“Kalau boleh, saya tidak mahu elemen drama diterapkan kepada peserta. Pada pendapat saya, elemen sedih dan air mata yang sering diketengahkan sebelum peserta tersingkir perlu dibuang.

“Anak-anak ini perlu dibimbing ke arah yang lebih positif dan saya sedia untuk mengambil tanggungjawab tersebut,” katanya.

Ditanya adakah barisan peserta pada kali ini sudah bersedia untuk berentap, ujar Aznil, beliau percaya bahawa mereka sudah cukup bersedia dari segi mental dan fizikal untuk bertanding.

“Selepas berjumpa beberapa kali dengan mereka pada sesi bootcamp, saya yakin mereka sudah bersedia.

“Melihat pada bakat yang ditonjolkan, musim ini bakal mempersembahkan bakat-bakat yang berlainan berbanding musim sebelum ini,” jelasnya lagi.

Musim terbaharu ini masih mengekalkan Nabil Ahmad sebagai pengacara.

Empat orang juri iaitu Johan Raja Lawak, Datuk AC Mizal, Zizan Razak dan seorang juri jemputan akan menilai persembahan peserta setiap minggu.

Pelakon kanak-kanak, Mia Sara Nasuha dan Rykarl Iskandar pula dilantik sebagai juri cilik yang bertindak sebagai rakan sokongan yang memberikan nasihat kepada para peserta.

Pada masa yang sama, tiga penyanyi terkenal, Hazama, Stacy dan Ronnie Hyper Act bertindak sebagai pembimbing para peserta.

Ceria Popstar musim ketiga sudah mula bersiaran menerusi episod pengenalan Tirai Ceria Popstar pada 24 April lalu pukul 8.30 malam di Astro Ceria (611) dan siaran serentak di Maya HD (135).

Konsert Mingguan Ceria Popstar akan disiarkan bermula 1 Mei depan pada pukul 9 malam di saluran yang sama.

Previous Post Next Post