Remy Ishak belum bertunang


USAHKAN bertunang, akui Remy Ishak, hatinya belum terisi dengan kehadiran wanita bernama kekasih.

Tiba-tiba sahaja nama pelakon kacak, Remy Ishak muncul menjadi tanda tanya. Dia didakwa sudah melangsungkan pertunangan secara senyap-senyap baru-baru ini. Umum hanya mengetahui desas-desus perkhabaran itu menerusi ruangan pojok yang disiarkan sebuah akhbar mingguan hujung minggu lalu.

Bertemu aktor berusia 33 tahun itu pada sesi pratonton filem terbaharunya, Pilot Cafe di NU Sentral, Kuala Lumpur, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, tenang menjawab setiap persoalan yang diajukan kepadanya.

Menganggap isu tersebut timbul berikutan salah faham peminat akibat sekeping gambar yang dikongsikan di Instagram miliknya, Remy tampil menjelaskan kedudukan sebenar.

Kata bintang filem Sejoli itu, benar ada berlakunya majlis pertunangan tetapi lelaki yang bertunang bukan Remy Ishak, sebaliknya adik bongsunya yang sudah pun menetapkan majlis perkahwinan pada September nanti. Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya mengenai spekulasi pertunangan tersebut.


Artis Meletop!: Melalui sebuah ruangan pojok dalam akhbar mingguan tempatan baru-baru ini, Remy dikhabarkan telah bertunang tanpa pengetahuan umum. Benarkah desas-desus tersebut.

Remy Ishak: Desas-desus tersebut sememangnya tidak benar, saya tidak pernah bertunang. Pada pandangan saya, desas-desus tersebut timbul kerana salah faham peminat saya melalui ruangan komen di laman Instagram. Sebenarnya, adik bongsu saya yang telah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan pada September ini.

Jadi, isu pertunangan tersebut hanyalah salah faham. Bagaimana pula dengan anda sendiri, adakah ada perancangan untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat?

Mungkin tidak dalam masa terdekat, kerana saya perlu memastikan adik-adik saya melangsungkan perkahwinan mereka dulu. Sebagai abang, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka daripada segi kewangan. Kami bukanlah orang senang dan adik-adik saya hanyalah bekerja di kampung sahaja, saya perlu mendahulukan mereka.

Anda kini menjangkau usia 33 tahun, sudahkah ada calon yang istimewa untuk disunting sebagai suri?

Dalam hati saya belum ada seseorang yang istimewa. Saya jenis yang suka suka berkawan dengan semua. Mungkin setelah berkawan lama, baru saya berasa selesa dengan seseorang. Insya-Allah, saya akan berkahwin. Sejujurnya, saya menyerahkan soal jodoh dan pertemuan kepada Allah.

Anda seorang pelakon popular dan memiliki kestabilan kewangan, pendek kata sudah berada di kedudukan selesa, jadi adakah sukar untuk mempunyai seorang wanita yang benar-benar layak dipanggil kekasih?

Rasanya, mereka (wanita) takut untuk mengenali saya dengan lebih mendalam kerana status dan pekerjaan saya sebagai pelakon. Mungkin mereka takut akan terpalit isu hangat jika hubungan dengan saya diketahui ramai. Selain itu, sebenarnya saya kurang gemar berkawan dengan seseorang yang melihat saya sebagai pelakon. Saya mahu seseorang wanita menerima saya sebagai lelaki biasa.

Bercerita mengenai filem terbaharu anda berjudul Pilot Cafe, apakah yang menyebabkan anda setuju untuk terlibat dalam filem ini.

Umum mengetahui bahawa filem ini merupakan adaptasi daripada sebuah novel nukilan Ahadiat Akashah. Saya merupakan peminat novel tersebut sejak zaman persekolahan. Sejujurnya saya pernah berharap untuk melakonkan watak utama, Kapten Amir dalam karya itu. Bagaimanapun, saya hanya diberikan watak sampingan iaitu Rashid. Apa pun, saya sangat bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian daripada pemain di dalam filem yang diadaptasi daripada novel kegilaan saya suatu ketika dahulu.

Mungkin anda boleh ceritakan sedikit mengenai pengalaman ataupun cabaran yang tidak dapat dilupakan sepanjang terlibat dalam pembikinan filem berkenaan dua tahun lalu.

Antara babak yang tidak dapat dilupakan ialah semasa penggambaran di Pulau Redang bersama Maya lakonan Izara Aishah. Ombak kuat yang melanda pada ketika itu hampir menenggelamkan saya sehingga berlaku kecederaan pada kaki. Saya jadi fobia tetapi semuanya terkawal. Alhamdulillah, tiada perkara buruk yang berlaku selepas itu.

Previous Post Next Post