Sherry Alhadad sahut cabaran jadi pelawak


BAGI peminat nama selebriti wanita ini masih hijau dalam industri seni tempatan.

Pun begitu, dek kerana personalitinya yang bersahaja, dia semakin diterima dalam bidang ini meskipun bentuk tubuhnya sebelum ini pernah dikritik oleh segelintir pihak.

Menganggap perkara tersebut sesuatu yang remeh, Sharifah Mariam Syed Abdul Alhadad atau lebih dikenali sebagai Sherry Alhadad memberitahu, dia bersyukur kerana kehadirannya dalam bidang seni semakin mendapat perhatian.

Malah, jika diimbas sejenak penglibatannya dalam bidang ini, dia bukan hanya bergelar pelakon, tetapi juga seorang pengacara.

Di sisi lain, mungkin ramai yang tidak perasan pelakon berusia 31 tahun ini juga mula meluaskan bakatnya dalam bidang lawak.

Mengulas mengenai perkara itu, ujar Sherry, dia sebenarnya tidak menduga bakat lawaknya terserlah sedikit demi sedikit.


"Mungkin kerana suka bergurau dan berjenaka, secara tidak langsung bakat lawak itu berjaya dicungkil.

"Walaupun secara tidak sengaja, tetapi saya sangat gembira apabila diberi peluang menjayakan Lawak Ke Der 2015 baru-baru ini sebagai pengacara sekali gus pelawak," katanya.

Akui Sherry, meskipun bimbang penerimaan peminat pada awalnya, namun dia menyahut cabaran tersebut dengan sepenuh hati.

"Apabila diberikan tawaran mengendalikan Lawak Ke Der 2015, saya memang terkejut.

"Lagipun untuk berhadapan dengan audiens di pentas Istana Budaya (IB) sesuatu yang berat dan berbeza dengan mana-mana program yang pernah saya sertai.

"Tetapi, saya kuatkan diri dan cuba mengambil peluang tersebut sebagai satu batu loncatan dalam bidang ini," kata bekas pengacara Melodi ini.

Berkongsi pengalamannya, jelasnya, dia tetap berasa gementar ketika di pentas.

"Apa pun, saya cuba yakinkan diri dan dengan sokongan semua pihak, saya telah memberikan yang terbaik," katanya gembira dengan respons peminat terhadap karier baharunya itu.

Previous Post Next Post