Syatilla Melvin tidak kisah populariti


SYATILLA MELVIN, sepotong nama unik yang sangat sinonim jika dikaitkan dengan watak antagonis dan penggoda dalam drama di kaca televisyen.

Berusia 24 tahun, wanita berbadan langsing dan tinggi lampai itu punya aura tersendiri dalam melakonkan watak antagonis, sementelah dikurniakan seraut wajah sombong dan jahat.

Bertemu janji dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin baru-baru ini, penulis cuba mendekati sisi sebenar sosok yang mempunyai darah kacukan Jepun itu dengan terperinci.

Ternyata, sikap ramah dan mesra yang ditunjukkan Syatilla sememangnya jauh berbeza berbanding apa yang dilihat dalam kaca televisyen. Manis berbicara dan sopan melantun kata, itu karakter sebenar Syatilla yang mungkin tidak diketahui ramai orang.


Jahat

Mempunyai sepasang mata yang tajam dan seraut wajah sombong membuatkan pelakon kelahiran Parit Buntar, Perak itu cukup dikenali sebagai pelakon antagonis. Lakonannya yang begitu memberi kesan, terpancar antaranya dalam drama Ramadan Yang Hilang pada 2013.

Ketawa dengan kenyataan itu, dalam nada penuh ceria, Syatilla tidak perlu mengendahkan segala gelaran yang dilontarkan kepadanya. Dia percaya, watak jahat juga memberi impak kuat dalam membantu menaikkan nama seseorang pelakon.

“Saya betul-betul tidak kisah dengan watak jahat. Memang nama saya mula dikenali dalam dunia lakonan pun bermula dengan karakter antagonis. Jadi, kalau perkara itu yang membuatkan saya dikenali, untuk apa marah?

“Selagi saya selesa dan kerjaya tidak diganggu, saya terima seadanya jika diberi watak jahat. Orang luar mungkin nampak saya jahat dalam televisyen tetapi orang yang rapat dengan saya pasti kenal bagaimana karakter sebenar saya,” tutur Syatilla yang mula menempa nama sebagai pelakon menerusi drama BFF Teman Tapi Mesra pada 2012.

Bagaikan bonus, Syatilla yang melabelkan rupa paras sendiri sebagai muka sombong mengakui, peranan jahat yang dibawa dalam lakonan banyak membantu namanya diingati.

Namun, siapa yang tahu kehendak dan gejolak jiwa dalam diri wanita muda ini yang teringin membawa kelainan dalam kariernya.

“Sudah tentu saya mahukan sesuatu yang baharu. Kalau asyik berlakon jadi jahat, nanti orang pun akan naik menyampah tengok muka saya (ketawa).

“Untuk berjaya, saya tidak boleh tertumpu kepada satu perkara sahaja. Dalam lakonan juga begitu. Saya mahu penguasaan watak dalam lakonan bercabang kepada banyak perkara supaya dapat berasa puas dengan hasil kerja.

“Tidak kisah watak apa sekalipun, asalkan selain daripada watak jahat. Mungkin karakter seorang gadis kurang upaya? Ia sesuatu yang sangat menarik kerana watak seumpama itu sangat memberi cabaran kepada saya,” tuturnya penuh makna.


PAKEJ lengkap sebagai seorang pelakon yang mempunyai aura antagonis begitu sinonim dengan Syatilla sejak berkecimpung dalam dunia lakonan tiga tahun lalu.

Rapat dengan Sam

Berbicara soal cinta, Syatilla tersenyum ceria saat ditebak soal kesahihan status hatinya yang dikatakan menjadi milik aktor Shaheizy Sam.

“Buat masa sekarang memang kami sedang berkawan baik dan sangat rapat,” itu jawapan lurus yang terbit dari bibir Syatilla sendiri.

Pernah dikaitkan mempunyai ciri-ciri wanita yang layak dijadikan isteri oleh Sam, Syatilla tidak menolak, andai suratan takdir menentukan suatu hari nanti namanya disatukan sebagai pasangan hidup.

“Jujurnya, memang saya tidak akan menolak sekiranya jodoh saya ditentukan dengan dia (Sam). Dia lelaki yang sangat baik,” tutur pelakon drama Julia itu dalam nada teratur.

Tanpa diasak lebih, Syatilla terbuka kisah dan berkongsi mengenai keintiman dengan Sam yang merupakan satu-satunya lelaki paling dekat di hatinya kini.

“Kalau ada masa terluang, memang kami selalu keluar bersama bersembang dan berkongsi banyak cerita. Setakat ini, hubungan kami memang baik,” tutur anak kedua daripada lima beradik itu sambil menyulam senyuman mesra.

Namun, sebelum tanggapan ‘rapat’ itu disalahertikan, Syatilla pantas memberitahu, meskipun mereka rapat, dia tetap mengambil pendekatan mengunci mulut untuk bercerita lanjut mengenai keseriusan hubungan yang terjalin.

“Saya tidak berani dan tidak suka untuk berkata apa-apa. Sebab saya hormatkan diri sendiri dan juga pihak sebelah sana. Saya perempuan, dalam hal sebegini, sepatutnya saya lebih banyak berdiam diri.

“Saya tidak mahu mengada-adakan sesuatu yang tidak ada dan begitu juga sebaliknya. Lebih baik saya beritahu, kami sekadar berkawan rapat, itu sudah cukup,” tuturnya manja.

Rezeki filem belum tiba

Sudah tiga tahun bergelumang dengan dunia lakonan, namun tempoh itu belum cukup kuat menjadi tiket untuk Syatilla disunting membintangi mana-mana filem setakat ini.

Meskipun cukup dikenali sebagai ratu antagonis dalam drama di kaca televisyen, Syatilla akui, belum terpijak rezeki untuk memegang watak dalam mana-mana naskhah filem.

“Memang saya belum ada rezeki berlakon filem. Saya pun tidak pasti mengapa tetapi ini semua bergantung kepada rezeki. Barangkali pengalaman setahun jagung sebagai pelakon belum cukup kuat untuk saya terjun ke bidang perfileman,” luah Syatilla memendam rasa.


MEMPUNYAI sepasang mata tajam dan berwajah sombong menjadi bonus kepada Syatilla untuk dikenali ramai sebagai wanita penggoda dan berperwatakan jahat dalam kebanyakan drama lakonannya.

Seperti selarik peribahasa yang berbunyi, pergi ke hutan pasang pelantik, jaga denai tempat lalu, tuah ayam tengok sisik, tuah orang mana tahu. Positif atas segala ketentuan rezeki, Syatilla mengambil pendekatan untuk tidak terlalu memikirkan soal nama dan populariti.

“Saya harus positif. Tidak semua perkara dimahukan dalam hidup akan diperoleh. Saya percaya, rezeki semua orang sudah tertulis. Kalau tuah tidak menyebelahi saya dalam bidang filem, saya tidak boleh berkata apa-apa.

“Mana tahu, berkat kesabaran dan kesungguhan, dalam masa setahun dua lagi rezeki itu akan tiba. Sejujurnya memang saya tidak kisah dengan perkara ini. Asalkan sekarang tawaran lakonan masih ada, itu sudah cukup,” tutur Syatilla dengan ekspresi ceria.

Saat sengaja ditebak, adakah dia bersikap selektif dalam memilih watak, Syatilla pantas menegaskan bahawa berilah watak apa sekali pun, dia akan cuba menjiwai tugas itu sebaik mungkin.

“Berilah watak apa sekalipun, saya tidak kisah. Jenis watak bukan soal utama bagi saya kerana untuk menjadi seorang pelakon yang berkaliber, seseorang itu perlu mengambil apa sahaja peluang yang diberikan oleh pengarah.

“Jangan memilih. Sebab saya sendiri jenis seorang yang tidak kisah memulakan sesuatu pekerjaan itu dari bawah.

“Kalaulah saya diberi watak picisan sekalipun, saya tetap akan ambil kerana watak seumpama itu juga ada peranan untuk dijiwai dan akan membantu perjalanan cerita,” tegas Syatilla yang kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Mahar Tanpa Cinta.

Previous Post Next Post