Tasha Shilla dedah punca perpisahan


Hubungan Tasha dengan Hans kini sudah berakhir.

IKATAN percintaan yang terjalin hampir dua tahun antara Tasha Shilla dan peninju Muay Thai, Hans Wong akhirnya terlerai apabila masing-masing membuat keputusan untuk membawa haluan sendiri.

Sejak menyulam cinta pada tahun 2013, hubungan pasangan itu antara yang sering mencuri tumpuan peminat hiburan tanah air. Apa tidaknya, kedua-duanya sering diaju dengan pertanyaan mengenai perkahwinan dan pernah merancang untuk mendirikan mahligai rumah tangga.

Bagaimanapun, entah di mana silapnya, kasih dan sayang yang cuba disemai Tasha dengan jejaka berusia 25 tahun itu terlerai sejak dua bulan lalu.


Berkesempatan menghubungi Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abdul Razak baru-baru ini, dia mendedahkan punca sebenar perpisahan adalah kerana ingin memperbaiki diri sebelum menempuh ke alam perkahwinan kelak.

“Sejujurnya hubungan percintaan antara saya dan Hans sudah dua bulan berakhir. Kami sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa tetapi masih bersahabat baik.

“Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya percaya perpisahan ini mungkin satu petanda untuk saya memperbaiki diri dalam menempuh ke alam perkahwinan nanti supaya tidak tergesa-gesa memilih pilihan hidup.



“Selain menganggap perhubungan ini tiada jodoh untuk ke alam perkahwinan, saya juga percaya perpisahan ini adalah demi kebaikan masing-masing,” jelas Tasha sambil menafikan keretakan hubungannya akibat orang ketiga.

Sementara itu, ketika ditanya adakah tindakan untuk membawa Hans memeluk agama Islam antara penyebab utama keretakan hubungannya, Tasha bagaimanapun enggan mengulas lanjut dakwaan tersebut.

“Walaupun gagal dalam percintaan kali ini tetapi saya tidak pernah serik untuk bercinta lagi. Bagaimanapun tumpuan saya kini adalah terhadap karier seni saya,” luahnya bersahaja.

Biarpun gagal dalam percintaan dan terpalit kontroversi demi kontroversi, namun aktres yang popular menerusi drama Tabir Zulaikha itu dilihat bingkas bangun dan tidak mudah melatah ketika dijentik dengan pelbagai kritikan yang kadangkala mampu mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dalam industri seni tanah air.

Terbaharu, Tasha bakal menjalani sesi penggambaran untuk drama Maid arahan Michael Ang pada minggu ini.

“Kerjaya sebagai pelakon sentiasa menjadi keutamaan. Sejak dahulu lagi, saya memang akan menyelesaikan tanggungjawab yang diberikan kerana lakonan adalah cinta dan jiwa saya,” kongsi anak kelahiran Ampang, Selangor itu.

Tambah Tasha, dia tidak pernah meletakkan sebarang harapan dalam kerjaya. Dia lebih selesa menjalani kehidupan sebagai anak seni secara sederhana.

“Jika kita ikhlas dan jujur dalam menjalankan kerja yang diamanahkan, saya yakin seseorang itu pasti akan dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah,” katanya.

Selain bakal kembali meneruskan penggambaran seperti biasa, Tasha juga akan melancarkan produk kecantikan sendiri tidak lama lagi.

Previous Post Next Post