Taufik Batisah Ada Alasan Tidak Dedah Kisah Cinta Bersama Isteri



Taufik Batisah mempunyai sebab tersendiri tidak mendedahkan identiti isterinya, Nur Sheehana Akbal Ahmad sebelum mereka berkahwin pada 4 April lalu.

Penyanyi Taufik Batisah mempunyai sebab tersendiri tidak mendedahkan identiti isterinya, Nur Sheehana Akbal Ahmad sebelum mereka berkahwin pada 4 April lalu.

Taufik atau nama sebenarnya Muhammad Taufik Batisah, 34, berkata, dia memilih untuk tidak bercakap mengenai hubungan cintanya dengan wanita berkenaan kerana ingin menjaga privasi hal berkaitan peribadinya.


"Saya tidak pernah berbicara secara terbuka mengenai hubungan dengan isteri sebelum ini kerana saya sangat privasi dengan kehidupan peribadi saya.

"Pun begitu sebelum ini saya tidak pernah menafikan saya sedang berkawan dengan seseorang tetapi tidak pernah memberikan butiran lanjut mengenainya," katanya.

Taufik ditemui pada sidang media bersempena showcase pertamanya di negara ini yang diadakan di Hotel Pullman Bangsar di sini pada malam Jumaat.

Dalam pada itu, biarpun namanya sering dikaitkan dengan beberapa wanita termasuk aktres Nur Fazura, Taufik berkata, isterinya sangat memahami dengan kerjayanya malah tidak pernah bertanya tentang gosip melandanya.



Taufik baharu sahaja melancarkan album terbaharunya berjudul Fique.

Bagaimanapun kata Taufik, dia sentiasa cuba menjelaskan situasi sebenar kepada wanita berkenaan biarpun tidak pernah diminta berbuat demikian.

"Saya sangat senang dan selesa dengannya kerana sikapnya yang cukup memahami selain tidak pernah menyimpan perasaan buruk sangka terhadap saya walaupun pelbagai gosip melanda karier saya.

"Dia tenang dan tidak pernah bertanya apa juga isu mengenai saya sebaliknya saya pula akan menerangkan kepadanya," ujarnya.

Tambah Taufik, dia sudah berkenalana dengan isterinya itu sejak 14 tahun lalu sebelum dia bergelar juara pogram Singapore Idol.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Taufik berkata, dia semakin kini semakin sibuk dengan pelbagai undangan persembahan semenjak single terbaharunya #awakkatmane menjadi siulan peminat baik di Singapura dan Malaysia.



Taufik gembira dengan penerimaan peminat di Malaysia terhadapnya.

Malah kata Taufik, dia ada terfikir untuk berhijrah ke Malaysia bagi mengembangkan karier nyanyiannya di negara ini namun masih belum serius memikirkan perkara itu.

"Belum ada perancangan untuk berpindah ke Kuala Lumpur kerana ia bukan satu keputusan mudah kerana saaya juga perlu mengambil kira pandangan keluarga termasuk ibu dan isteri.

"Bagiamanapun idea untuk berpindah ke sini saya lihat akan memudahkan saya mengembangkan lagi karier nyanyian dan lakonan di Malaysia, Insya-Allah," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Taufik berkata, dia mengambil masa selama enam tahun untuk menghasilkan album kelimanya berjudul Fique namun berpuash hati dengan hasilnya.

"Album ini memperlihatkan sisi matang saya bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi komposer dan penulis lirik. Benar ia mengambil masa lama tetapi ia sangat berbaloi," ujarnya.

Previous Post Next Post