Tun M: Saya Maafkan Najib Isu Jambatan Bengkok Tapi Bukan 1MDB



Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyalahkan Datuk Seri Najib Tun Razak atas kegagalan projek jambatan bengkok tetapi menegaskan perdana menteri itu perlu mengambil kira wang yang dihilangkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya menulis tentang 1MDB tetapi orang ramai berkata 'Oh, beliau tidak berpuas hati dengan jambatan bengkok dan bukannya 1MDB. Saya tidak menyokong penyingkiran seorang perdana menteri tetapi beliau terlalu takut kepada Singapura untuk membina jambatan bengkok.

"Saya simpati terhadap beliau kerana beliau amat lemah dan tidak membina jambatan tersebut. Oleh itu, saya maafkan beliau - tetapi apabila anda kehilangan wang dan tidak dapat menjelaskan di mana ia berada, saya rasa anda tidak kompeten untuk menjadi perdana menteri," katanya selepas melancarkan 'Forum Antarabangsa: Menjenayahkan Perang, Menjana Keamanan' anjuran Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Sabtu.


Bekas perdana menteri itu turut menyatakan rasa bimbang terhadap Umno menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

"Kita berdepan dengan pilihan ini: sama ada anda menyingkirkan seorang perdana menteri yang gagal dan akan menyebabkan Umno kalah pada pilihan raya akan datang atau anda ambil peluang sekiranya beliau undur diri, kita mungkin berpeluang menghidupkan semula Umno," katanya.

Dalam wawancara khas bersama TV3 minggu lalu, Najib berkata serangan Dr Mahathir terhadap beliau mungkin disebabkan perbezaan pendapat di antara mereka mengenai jambatan bengkok dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Previous Post Next Post