Yatt Hamzah Tarik Permohonan Cerai, Hubungan Kembali Jernih



Yatt (kiri) dan suaminya hadir di Mahakamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada Isnin. FOTO: Shaari Che Mat

Pelakon Yatt Hamzah pada Isnin menarik balik permohonan cerai terhadap suaminya iaitu Abdul Mutalib Abdul Shukor yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada 24 Februari lalu.

Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 35, memfailkan notis penarikan balik permohonan itu dihadapan Hakim Syarie, Mohd Saifullah Hamzah.

Saifullah membenarkan permohonan itu ditarik balik selepas pasangan tersebut mencapai kata sepakat untuk meneruskan kehidupan sebagai suami-isteri.


Yatt dan suaminya turut menghadiri perbicaraan tersebut bersama peguam Syarie, Nuraini Fauzi.

Terdahulu, pada 12 Mac lalu, pelakon itu dan pasangannya meminta kepada mahkamah yang sama tempoh sebulan untuk menyelesaikan masalah rumah tangga mereka cara baik.

Sementara itu, Abdul Mutalib dan Yatt ketika ditemui diluar mahkamah bersyukur dengan keputusan itu selain menganggap ia mempunyai hikmah tersendiri.

"Alhamdulillah semuanya sudah selesai dan berharap semua pihak dapat mendoakan kebahagian kami berdua," katanya.

Yatt dan Abdul Mutalib telah berkahwin pada 29 Mac 2009 dan mendapat seorang anak perempuan bernama Suci Malaika Hanania yang kini berusia lima tahun.

Terdahulu pasangan berkenaan dalam satu kenyataan mendedahkan, mereka terbuka hati untuk berbaik semula ketika pulang menjalani misi kemanusiaan di Syria.

Semasa misi berkenaan, mereka melihat penderitaan rakyat negara itu yang lebih teruk berbanding ujian rumah tangga mereka.

Previous Post Next Post