Aaron Aziz beralih arah?



UMUM mengetahui Aaron Aziz merupakan nama besar dalam industri lakonan. Namun selepas mengarah filem pertama berjudul Romeo Kota, kini pelakon popular ini sekali lagi akan menghangatkan lagi industri seni tanah air dengan menghasilkan filem keduanya.

Masih dalam proses awal produksi, tajuk filem yang diberi nama Sayu Yang Syukur (SYS) akan memulakan penggambaran pada 20 Mei ini.

“Selepas pulang dari Oukland bagi menghabiskan babak filem Kau Yang Satu, saya akan mengarah filem kedua saya sehingga bulan enam ini insya-Allah.

“Saya arah dan saya juga jadi pelakonnya untuk watak hero. Skrip juga sudah siap, dan kita akan mula penggambaran sebelum hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama atas talian di portal tonton iaitu Dan Calonnya Adalah 2, baru-baru ini.

Aaron juga mengakui pengarahannya kali ini mendapat lebih kepuasan kerana terlibat sepenuhnya dari awal proses.

“Kali ini saya dapat kepuasan sebab saya terbabit dari awal, skrip keluar, pemilihan lokasi, dan pembinaan watak, semua saya terlibat.

“Tetapi tajuk filem itu masih dalam cadangan kerana ia agak klasik. Nanti akan diubah.

“Barisan pelakon pula antaranya Nora Danish, Datuk Yusof Haslam, Fauziah Latiff dan Amira Rosli,” katanya.

Mengulas pula mengenai viral artis di media sosial, Aaron memberitahu, sesiapa sahaja kini menjadi tidak selamat.


“Empat lima tahun lalu, saya masih berlakon tetapi suasana industri tak terlalu kacau sangat dengan adanya media sosial kerana masa itu digunakan untuk bercakap apa sahaja.

“Tetapi sekarang semuanya telah havoc, tidak siapa selamat. Pada saya hal peribadi kita telah tergadai dengan media sosial.

“Tetapi kita sebagai artis sendiri nak terlibat dalam media sosial, dan jika terlibat, memang perlu terimalah jika buat kesilapan yang tidak disengajakan, kemudian keluar menjadi gosip,” katanya.

Berita penceriaan?

Berkongsi pula pengalaman mengenai dirinya menjadi viral di media sosial, pelakon yang pernah memenangi anugerah Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular pada 2013 ini berkata, berita mengenai penceraiannya dengan isterinya paling terkesan.

“Paling teruk, berita mengenai saya dah cerai dengan isteri saya. Ada juga berita saya meninggal.

“Apa perlu saya lakukan, jangan ambil peduli hal tersebut. Cumanya saya bimbangkan anak-anak apabila mereka membesar di zaman ini. Media sosial akan jadi benda negatif,” katanya.

Menceritakan pula wataknya dalam drama Dan Calonnya Adalah 2 yang akan disiarkan pada 18 Mei ini di portal tonton, Aaron berkata, dia memegang watak sebagai Aris iaitu seorang anak hartawan yang sedikit nakal.

“Mungkin ada yang rasa klise, terlalu banyak kali saya lakonkan watak sebegini, namun bezanya romantik antara Fatin (Zara Zya) dan Aris tidak seberat cerita cinta yang dilakonkan saya sebelum ini.

“Pada masa sama, drama ini sangat pendek kerana singkat waktunya. Jadi pengarah tidak boleh terlalu luangkan masa.

“Setiap aksi perlu pantas. Tetapi memang bagi diri saya tidak puas membawakan watak drama online yang pendek ini, tetapi ia satu pengalaman baru,” katanya.

Drama ini adalah musim kedua mengikuti kisah Aris, seorang anak hartawan yang dipaksa ibunya untuk mencari jodoh. Aris sebenarnya mempunyai seorang teman wanita bernama Yasmin dan merancang untuk mengahwininya.

Tetapi personaliti Yasmin tidak disenangi oleh ibunya, Datin Zana yang kemudiannya meletakkan satu syarat, di mana jika Aris ingin mengahwini Yasmin, dia perlu terlebih dahulu keluar dengan 12 wanita lain.

Niat Datin Zana adalah untuk memberi Aris peluang menilai dan menyedari bahawa terdapat ramai lagi wanita lain yang lebih bagus daripada Yasmin untuk dijadikan isteri. Siapakah yang berjaya menawan hati Aris dan ibunya?

Previous Post Next Post