Afiq Muiz temui pengganti?



BILA bercerita mengenai pelakon muda ini, ramai yang akan menyelak kembali kontroversi yang pernah melanda dirinya satu ketika dahulu.

Namun bagi Afiq Muiz, perkara lalu itu biarlah beredar begitu sahaja malah, dia sendiri sudah tidak mahu lagi memandang ke belakang dan mengingatinya lagi.

Mengakui hubungan bersama ibu dan keluarga juga semakin pulih, Afiq, 23, memberitahu bahawa rezekinya dalam kerjaya lakonan semakin mencurah-curah.

"Alhamdulillah, ada hikmahnya atas apa yang terjadi dan kini saya berdiri tanpa memandang ke belakang lagi. Malah, jika dibandingkan dengan dahulu, hidup saya kini lebih tenang.

"Dari segi kerjaya pula, saya bersyukur kerana masih lagi diberikan rezeki dalam bidang ini. Malah, saya tidak menyangka masih ramai penerbit dan pengarah yang menghargai bakat dan kebolehan saya," katanya ketika pada majlis pelancaran laman web Program Anak Permata Negara (Permata) di Seri Perdana, Putrajaya.


Enggan terus berbicara kisah lama, Afiq mengakui dia kini sedang berkawan dengan aktres, Miera Leyana.

Jelas Afiq, ikatan itu mula terjalin setelah digandingkan dalam adaptasi, Memori Cinta Suraya.

"Setakat ini, Miera adalah kawan wanita yang paling rapat dengan saya dan saya selesa bersamanya.

"Malah ibu saya juga menyenangi Miera. Namun, bila berbicara soal jodoh, ianya masih terlalu awal untuk ke peringkat yang lebih serius biarlah fokus saya dalam bidang kerjaya terlebih dahulu," katanya.

Usaha kurus

Berkongsi perkembangan terkininya, Afiq berkata, dia sedang menjalani penggambaran drama adaptasi, Memori Cinta Suraya yang mana tajuk asalnya ialah, A Love To Remember, terbitan Global Station Sdn Bhd.

Katanya, untuk menyempurnakan drama 148 episod ini, dia terpaksa mengorbankan tawaran lain kerana terikat dengan proses penggambaran lebih setahun.

"Namun, kalau ada masa luang, saya hanya akan terima tawaran telefilem sahaja," katanya yang kini berusaha menguruskan badan untuk watak, Tengku Haikal.

Previous Post Next Post