Bengang Soal Bayaran, Farouk Hussain Serik Berlakon



Farouk Hussain enggan berlakon kerana kecewa dengan pengurusan tidak betul syarikat produksi.

Pelakon dan pengacara, Farouk Hussain mengambil keputusan untuk tidak lagi berlakon kerana serik dengan industri hiburan tanah air yang dilaluinya sebelum ini.

Farouk, 48, berkata walaupun negara sudah memasuki zaman milenium tetapi masih banyak produksi yang bermasalah dan semakin teruk diuruskan.


"Saya memang sudah tidak lagi berlakon walaupun ada menerima beberapa tawaran kerana apa yang boleh saya katakan masalah di dalam produksi tidak pernah selesai dari zaman dulu lagi.

"Masalah yang saya maksudkan ialah bayaran yang teruk, waktu bekerja yang panjang, kebajikan artis yang tidak dijaga dan terlalu banyak masalah lain," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Farouk berkata, industri di Malaysia jauh berbeza jika nak dibandingkan dengan luar negara kerana bayaran tidak adil apabila pelakon senior dibayar terlalu rendah tetapi bayaran tinggi diberikan buat pelakon baru.



Farouk kini berkongsi perniagaan dengan Riezman Khuzaimi.

Farouk juga menegur cara kerja sesetengah produksi yang bertindak tidak professional kerana jadual yang terlalu ketat dan membebankan bukan sahaja pelakon malah kru produksi.

"Saya yang sudah 21 tahun dalam industri hanya menerima jumlah bayaran yang sikit untuk drama bersiri 13 episod tetapi pelakon baru boleh pula mendapat banyak sedangkan mereka bukan kekal popular kerana selepas lima tahun, tenggelam.

“Bila ditanya pihak produksi mengenai bayaran, jawapan yang sama diberikan, kekurangan bajet dan isu tersebut saya dengar sejak awal karier lagi.

“Banyak la faktor lain contohnya kesian pada kru yang bekerja sehari hingga 18 jam dan mereka tidak seperti artis yang mempunyai waktu rehat kerana mereka tidak berhenti uruskan produksi dari siang ke malam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Farouk baru sahaja menyertai perniagaan restoran milik pelakon, Riezman Khuzaimi iaitu RK Recipe Café yang terletak di Taman Melawati di sini untuk mengembangkan menu masakan Barat.

Farouk menggunakan nama komersial untuk setiap menu yang dihasilkan antaranya seperti beef steak anak mami, panfried salmon pak nana dan jumbosausages betul ke bohong.

Sementara itu, Farouk bersama Chef Farah Quinn, Chef Joe dan Chef Sherson Lian juga akan menyertai Karnival Laksa Antarabangsa Langkawi yang akan bermula pada 29 hingga 31 Mei ini di Laman Padi, Pulau Langkawi.

Previous Post Next Post