Charlotte pelengkap pasangan diraja


Charlotte pelengkap pasangan diraja.

TANGGAL 23 Julai 2013, suasana yang sama telah dirakam di Lindo Wing Hospital St Mary, di saat isteri kepada Putera William, Kate Middleton mahu melahirkan putera sulung mereka, Putera George.

Lahirnya cahaya mata kedua pasangan ini pada Sabtu lalu di hospital yang sama, seluruh rakyat Britain menyambut gembira kelahiran waris keempat dalam takhta negara itu.

Sebelum ini, rakyat berteka-teki mengenai nama bayi comel itu, malah ada beberapa senarai nama pilihan termasuk Alexandra, Louise, Eleanor dan Alice.

Selepas dua hari dilahirkan, Putera William dan Kate Middleton akhirnya menamakan cahaya mata kedua mereka dengan panggilan Charlotte Elizabeth Diana.

Menurut kenyataan dari Istana Kensington, Duchess of Cambridge ini telah selamat melahirkan anak perempuan pada jam 8.34 pagi secara normal.


"Selepas tiga jam dimasukkan ke hospital, Charlotte dilahirkan dengan berat 3.7 kilogram (kg). Mengenai pemilihan nama pula, kombinasi nama berkenaan adalah daripada Ratu Inggeris, Elizabeth II dan mendiang ibu William, Puteri Diana," kata wakil dari istana.

Selain rakyat, Perdana Menteri Britain, David Cameron juga tidak ketinggalan menghantar ucapan tahniah di Twitter miliknya di atas kelahiran pelengkap hidup pasangan diraja berkenaan.

“Seluruh negara mendoakan yang terbaik buat pasangan diraja ini,” katanya.

Tidak menunggu lama untuk memperkenalkan Puteri Charlotte kepada dunia, pasangan bahagia ini turut berkongsi wajah puteri kesayangan mereka secara umum ketika keluar dari hospital.

Menariknya, walaupun baru sahaja beberapa jam selamat bersalin, penampilan Middleton sungguh anggun dan cantik serta tiada cacat celanya.

Malah, sebelum ini, penampilan Middleton tidak pernah mengecewakan kerana dia sememangnya terkenal dengan gaya yang elegan, cantik, menawan dan sentiasa mengekalkan ciri-ciri kesopanan.


Wajah Puteri Charlotte diramal

Walaupun baru sahaja dilahirkan, ramai dalam kalangan masyarakat mula teruja untuk menyaksikan wajah Puteri Charlotte apabila menjengah usia dewasa.

Ekoran daripada itu, seorang ahli forensik dari Amerika Syarikat, Joe Mullins meramal wajah puteri ini menerusi kecanggihan teknologi komputer berpandukan gabungan wajah Middleton dan William.

Dalam lakaran foto itu, digambarkan Charlotte bakal mewarisi padanan wajah ibu dan bapanya yang memiliki rambut 'brunette' dan bentuk hidung menyerupai ibunya.

Matanya pula kelihatan hijau dan kebiru-biruan dan bentuk bibirnya pula mewarisi Duke of Cambridge itu.

Sebelum ini, Mullins telah menghasilkan beberapa foto lakaran untuk anak-anak selebriti di Hollywood dan ternyata hasil kerjanya dihargai serta mendapat reaksi positif daripada masyarakat.

Selain gambaran wajah, Puteri Charlotte dianggarkan mempunyai nilai mencecah RM5.4 bilion sebelum berusia 10 tahun dan majoritinya adalah kerana pengaruh yang bakal dibawa dalam industri fesyen dan kecantikan.

Merupakan Puteri Cambridge yang pertama dalam masa 182 tahun, Puteri Charlotte adalah bayi pertama dalam tempoh 25 tahun, dilahirkan dengan gelaran rasmi ‘Puteri’.

Previous Post Next Post