Didi Astillah tak kecewa



SEKALIPUN pernah menyertai pelbagai program nyanyian di kaca televisyen (TV), namun itu bukanlah tiket mudah bagi penyanyi remaja, Didi Astillah mencipta nama dalam bidang seni hiburan.

Bahkan, bekas peserta Idola Kecil ini pernah melancarkan album sulungnya, Didi Astillah pada September lalu. Sebelum itu, anak kelahiran Sabah ini pernah bergelar artis cilik menerusi album Adik-Adik Mutiara ketika berusia tiga tahun.

Bagaimanapun, entah di mana silapnya, nama penyanyi berusia 19 tahun ini seolah-olah semakin ‘sepi’ dalam industri.

Tidak berputus asa dengan situasi itu, pemilik nama penuh Dayang Nadzillah Awang Astillah ini sebaliknya mengganggap masih belum ada rezeki berpihak kepadanya.


"Saya tak kecewa walaupun tak popular. Mungkin belum rezeki saya lagi.

"Ramai yang cakap saya ini muda lagi dan perkara itu (popular) pula berlaku secara perlahan-lahan.

"Tambahan pula, dalam industri sendiri terlalu ramai persaingan jadi saya perlu berusaha dengan lebih kuat lagi,” katanya ketika ditemui Zass di pelancaran Festival Ramadan GM Klang, baru-baru ini.

Pun begitu, pelantun lagu Fikirkan Kamu ini mengakui laman sosial Instagram adalah platform utamanya dikenali ramai.

"Tak popular tak bermakna saya tak buat apa-apa.

"Lagipun, saya kini terikat dengan tugas mempromosikan sesuatu majlis melalui Instagram saya sendiri dan saya seronok melakukannya,” katanya yang kini mempunyai lebih 100,000 pengikut di laman sosial itu.

Tambah Didi, dia bakal mempromosikan single keduanya, Pujaan Hati selepas Hari Raya Aidilfitri selain terlibat dalam menjayakan persembahan sempena Ramadan di pusat membeli belah GM Klang, kelak.

Pada masa sama, Didi mengakui sedang mengintai peluang untuk menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi, tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Didi baharu saja tamat menjalani penggambaran filem pendek, Kelambu dan telefilem di TV9, Budak Lorong.

Previous Post Next Post