Didie Alias bergelar usahawan


PERKONGSIAN hidup Didie dan Norisham sejak 2009 kini diserikan dengan kehadiran Muhammad Dayyan.

SELEPAS berjaya mencipta nama sebagai pelakon, pelawak dan pengacara, selebriti yang terkenal dengan gelaran Lady Gaga Malaysia, Didie Alias mencabar dirinya untuk menceburi bidang perniagaan.

Menerusi syarikat Didies Entertainment & Management yang ditubuhkan sejak 10 tahun yang lalu, Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Mohd. Ali menganjurkan majlis Satukan Cinta Buat Ayah dan Ibu Bersama Datuk Jamal Abdillah di Menara Kuala Lumpur pada 31 Mei ini. Majlis tersebut diadakan bersempena dengan sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa.

Menurut Didie yang bertindak selaku penganjur, sekali gus pengacara majlis tersebut, sepanjang 25 tahun bergelar anak seni, inilah kali pertama dia memberanikan diri untuk menganjurkan sebuah acara besar.

“Sepanjang 10 tahun syarikat Didies Entertainment & Management ditubuhkan, syarikat itu hanya menguruskan kerjaya saya seorang. Majlis sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa nanti boleh dikatakan bayi sulung syarikat saya.

“Selama ini saya diundang sebagai pengacara untuk sesebuah majlis, namun apabila saya bertindak sebagai penganjur, perasaannya berbeza. Tanggungjawab dan debarannya lebih besar. Banyak perkara yang harus saya teliti selain hanya menghiburkan tetamu yang hadir,” ujar Didie yang ditemui baru-baru ini.


Disoal apakah yang membuat Didie begitu berani untuk menganjurkan sebuah majlis besar, ibu kepada enam orang anak itu mempunyai jawapan tersendiri.

Katanya, berdasarkan pengalaman yang dimiliki, sudah sampai masa untuk dia mengambil langkah meningkatkan profesionnya ke tahap yang lebih tinggi.

Menyambung bicara tentang majlis berkenaan, Didie memilih Jamal Abdillah sebagai penghibur bersandarkan aura luar biasa yang dimiliki penyanyi berkenaan. Selain itu, Jamal juga mempunyai rangkaian lagu popular yang cukup mesra dengan golongan pertengahan usia.

“Jamal merupakan penyanyi yang popular sejak dahulu sehinggalah hari ini. Lagu-lagu beliau cukup dekat dengan golongan ibu dan ayah. Sebab itu saya rasa, beliau pilihan cukup tepat,” tutur Didie yang bakal berduet dengan Jamal menerusi sebuah lagu.

Tambah pelakon berusia 42 tahun itu, dia turut terpanggil untuk mengundang anak mangsa kemalangan di Lebuh Raya Duke iaitu Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 7, dan Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam, 4, sebagai tetamu khasnya atas dasar prihatin dan kemanusiaan.

“Saya bukan mahu mengambil kesempatan atau menumpang populariti tetapi sebagai seorang ibu yang mempunyai enam orang anak, saya tidak dapat bayangkan nasib anak-anak andai sesuatu terjadi kepada saya. Melihat mereka berdua seolah-olah melihat anak saya sendiri. Sayunya hati, hanya Allah yang tahu.

“Rasanya semua orang juga mempunyai perasaan yang sama dengan saya. Jadi, pada majlis Satukan Cinta Buat Ayah dan Ibu Bersama Datuk Jamal Abdillah, sebahagian kutipan tiket akan disumbangkan kepada mereka.

“Saya juga amat berharap mereka berdua akan terhibur dan gembira dengan persembahan pada hari itu. Apa salahnya buat mereka gembira dan melupakan sebentar kesedihan kehilangan ibu bapa,” kata Didie yang turut menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada tetamu pada majlis berkenaan.

Buat peminat yang ingin menyaksikan persembahan Jamal Abdillah dan Didie pada pukul 3 petang di Menara Kuala Lumpur pada 31 Mei nanti, tiket-tiket berharga RM250 sehingga RM1,000 boleh dibeli dengan menghubungi talian 011-2055 6816 dan 010-8639 087.

Bercakap tentang kerjaya seninya, Didie kini semakin fokus dengan tugas di belakang tabir sebagai penerbit menerusi syarikat produksi, D&Z International Pictures yang ditubuhkan pada tahun lalu. Setakat ini, syarikat produksi miliknya itu sudah menerbitkan program bercorak dokumentari, program realiti dan telefilem.

Tutur Didie, selepas melahirkan anak bongsu, Muhammad Dayyan, 11 bulan, hasil perkongsian hidup dengan suami keduanya, Norisham Ismail, jadual kerjanya makin padat. Kehadiran Dayyan membulatkan tekad Didie untuk memberanikan diri memastikan syarikat berkenaan terus beroperasi.

“Dayyan masih menyusu badan, disebabkan itu saya harus membawanya ke lokasi penggambaran. Sebab itu, saya terpaksa memilih tawaran yang tidak mengambil masa yang lama,” katanya.

Previous Post Next Post