Ella Amalkan Makanan Sunah Untuk Dapat Anak



Seperti juga pasangan lain, ratu rock Ella yang telah tiga tahun berumah tangga turut mengimpikan hasrat menimang cahaya mata dengan mengamalkan petua memakan makanan sunah ketika ini.

Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin, 49, berkata, selain amalan itu dia juga tidak terkecuali mendapatkan nasihat doktor bagi tujuan berkenaan.


“Kini saya mengamalkan makanan sunah dan mengikut saranan doktor yang memberi sedikit informasi mengenai makanan yang elok untuk diamalkan.

“Sememangnya saya dan suami sentiasa berusaha dan doakan moga kami cepat menerima cahaya mata, InsyaAllah,” katanya kepada Artis Meletop.


Ella dan suaminya Azhar Ghazali

Ella ditemui pada sambutan 50 tahun EMI Malaysia dan gabungan syarikat itu bersama Universal Music di Saloma Bistro, disini pada Isnin.

Ella bernikah dengan seorang juruterbang iaitu Azhar Ghazali pada 9 Julai 2012.

Dalam pada itu Ella dijadualkan akan berangkat ke London selama dua minggu bermula Rabu ini bagi mengadakan persembahan buat pelajar Malaysia di kota metropolitan itu.

Katanya, pada kesempatan itu dia juga bakal menghasilkan muzik video terbarunya yang berjudul Istimewah (gabungan istimewa dan mewah) di Paris.

“Jadual saya agak padat kerana bukan sahaja perlu mengadakan persembahan malah turut membuat muzik video di sana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ella bakal muncul dengan album barunya yang kini masih 40 peratus dalam pembikinan dan dijangka bakal keluar selepas Aidilfitri ini.

Previous Post Next Post