Faezah Elai tolak adegan atas katil


SELEPAS berkahwin dan memperoleh cahaya mata sulung, Dealova, Faezah banyak memberi fokus kepada anaknya itu.

Agak lama pelakon Faezah Elai menyepi daripada dunia lakonan, terutamanya selepas dia berkahwin dengan pengarah, Heykal Hanafiah dan seterusnya melahirkan anak perempuan bernama Dealova Heyrinna Heykal Haniffah, 2.

Dua tahun berlalu, Faezah masih lagi bergelar seorang anak seni, cuma kerjayanya diperlahankan kerana ingin memberi lebih tumpuan kepada Dealova yang sedang dalam proses membesar.

Muncul berhijab pada awal Februari lalu, Kosmo! sempat bertanya khabar pemilik nama sebenar, Noor Faezah Md Elai, 32, tentang perkembangan terkini ketika bertemu pada majlis pelancaran jenama pakaian kanak-kanak Julia Betty milik pelakon Betty Banafe baru-baru ini.


Artis Meletop!: Apa khabar Faezah sekarang? Lama tidak mendengar berita anda sejak mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak. Adakah anda sudah bersara daripada dunia lakonan?

Faezah ELAI: Alhamdulillah, saya baik-baik sahaja. Benar, sejak berkahwin dan mendapat cahaya mata, fokus saya kini lebih kepada keluarga. Dea (panggilan manja Dealova) yang sedang membesar perlukan perhatian, jadi saya tidak mahu ketinggalan saat-saat berharga ini. Saya tidak bersara, cuma lebih suka memilih tawaran yang tidak perlukan masa lama di set penggambaran. Jadi, mungkin itu menyebabkan saya jarang muncul di kaca televisyen.

Anda memberitahu lebih bersifat selektif terhadap tawaran berlakon. Adakah anda melakukan pengkhususan lebih kepada filem atau drama?

Sebenarnya ia bergantung kepada watak yang diberikan. Kalau boleh saya tidak mahu watak yang memerlukan masa panjang di set kerana ada anak kecil. Sejujurnya sekarang, untuk terbabit dengan drama berepisod, saya akan memilih untuk berada bawah arahan suami iaitu, Heykal. Ini kerana dia faham jadual seharian saya, jadi tiada masalah untuk waktu penggambaran dijalankan.

Jadi, ini bermakna anda tidak menerima tawaran bawah produksi lain?

Tidak, jika tawaran mereka okey dan boleh bertolak ansur dengan masa yang lebih tertumpu kepada anak, maka bagi saya tiada masalah.

Anda sudah mula berhijab sejak Februari lalu. Boleh ceritakan sedikit bagaimana boleh terdetik untuk melakukan penghijrahan ini?

Apa yang boleh saya katakan ialah sudah sampai masanya untuk berubah. Saya tidak mahu bercerita lebih kerana enggan dikatakan riak mendapat hidayah. Saya memutuskan untuk berhijab kerana sudah sampai seru. Saya sudah berkahwin dan mempunyai anak, jadi hendak tunggu bila lagi untuk berhijab? Maka saya sifatkan memang ini waktunya untuk berubah.

Memandangkan anda sekarang sudah berhijab, adakah ini bermakna pemilihan watak juga perlu punya garis panduan yang ketat untuk menjaga tata susila?

Ya, itu sudah semestinya kerana saya tidak mahu watak itu bercanggah dengan penampilan sebagai wanita berhijab. Saya tidak selesa untuk membawa watak yang perlu ada adegan di atas katil atau berpegangan tangan kerana tidak sopan dipertontonkan kepada umum.

Selain berlakon, apakah perkembangan terkini anda?

Saya sekarang mempunyai perniagaan produk kecantikan wajah bernama Purest, yang diusahakan secara kecil-kecilan sahaja. Sejak dahulu, saya memang mempunyai masalah kulit wajah yang banyak jerawat dan kusam. Setelah cuba memakai Purest yang saya hasilkan sendiri bahan-bahannya daripada tumbuh-tumbuhan, ia nampak berkesan. Jadi, saya cuba pasarkannya secara online seperti di laman Instagram dan Alhamdulillah, ia mendapat sambutan hangat setakat ini.

Previous Post Next Post