Haikal Zarrin yakin mampu bersaing



MINAT yang mendalam terhadap bidang muzik mula tertanam dalam dirinya sejak berusia 11 tahun lagi.

Dorongan kedua orang tuanya menjadi semangat dan kekuatan buat pemilik nama Mohamad Haikal Zarrin atau Haikal Zarrin ini terus serius dalam bidang yang diceburi.

“Ketika saya berusia 11 tahun, ayah mula ajar saya bermain gitar dan sejak itulah minat saya cenderung terhadap bidang muzik.

“Selepas tamat sekolah, saya tubuhkan sebuah band Sevenmiles dan kami mula aktifkan diri dalam muzik underground,” katanya.

Menyedari banyak perkara yang perlu diperbaiki, Haikal membuat keputusan untuk menyambung pelajarannya dalam bidang Kejuruteraan Bunyi di Universiti Limkokwing.

“Selain menyanyi, saya juga mahu dikenali sebagai komposer dan penerbit lagu.

“Sepanjang pengajian, banyak ilmu yang saya belajar dan ia benar-benar membantu saya untuk menghasilkan karya yang berkualiti,” katanya.

Tahun 2013 menjadi titik permulaan buat dirinya menjalani karier sebagai penyanyi solo apabila Haikal tampil dengan single pertamanya Menunggumu.

“Sebagai perkenalan, saya telah menghasilkan Menunggumu sebagai single pertama. Lagu ini juga telah diedarkan oleh Warner Music Malaysia.

“Alhamdulillah, sambutan baik telah saya terima dan lagu ini juga turut dimainkan di corong radio tempatan. Selepas ini, dalam masa yang terdekat saya akan keluarkan single kedua Selamat Pagi.

“Kedua-dua lagu tersebut saya cipta sepenuhnya berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri,” jelasnya.


Yakin pada bakat

Enggan meletakkan persaingan sebagai halangan terbesar, Haikal yakin kelebihan dan kekuatan bakat dalam bidang nyanyian dan ciptaan lagu mampu menjadikan dirinya sebaris dengan nama besar yang lain.

“Memang tidak dinafikan, penyanyi berbakat kini semakin ramai dan banyak persaingan yang wujud.

“Tapi itu bukan halangan untuk saya menonjolkan diri saya dalam bidang ini. Berbekalkan bakat dan kelebihan yang ada, saya yakin mampu untuk bersaing.

“Lagi pun, saya bukan hanya menyanyi malah saya juga mencipta lagu sendiri dan itulah kelebihan saya,” ujarnya.

Akui sukar untuk dirinya dikenali memandangkan namanya masih baharu, Haikal mengatur strategi menghasilkan lagu untuk penyanyi lain.

“Saya juga mencipta beberapa lagu untuk dinyanyikan oleh penyanyi yang bernaung di bawah label Hazac Records milik saya iaitu Boby, Sagittarius Band, Yassir Syafiee dan Ross Hassan dan beberapa penyanyi lain.

“Selain itu saya juga mencari ruang untuk mencipta lagu bagi penyanyi ternama yang lain,” katanya.



Previous Post Next Post