Kontroversi harga bayaran Zizan Razak


ZIZAN masih dengan pendiriannya dengan mengunci mulut soal perancangan perkahwinannya.

Sejak mengumumkan perancangannya mahu mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis yang berasal dari Terengganu, pelawak Zizan Razak tidak henti diburu media. Biarpun bapanya, Ab. Razak Husain, 57, telah mengesahkan gambar yang tersebar di sebuah portal hiburan merupakan gadis yang rapat dengannya bernama Nur Edora Diyana Hashim, 24, dan telah tiga kali dibawa bertemu keluarga sekitar penghujung tahun lalu, Zizan masih mengunci mulut.

Menemui Zizan, 31, semasa rakaman program Ceria Pop Star di Studio 1, Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Ahad lalu, pelakon Hantu Kapcai itu bertegas dengan pendiriannya. Dia enggan mengulas soal perancangan perkahwinannya dengan alasan menghormati keluarga.

“Saya tetap dengan pendirian menghormati keluarga. Belum masanya untuk saya ceritakan soal perkahwinan. Kenyataan yang dikeluarkan oleh bapa merupakan haknya. Saya tidak mahu ulas lanjut mengenai kenyataan tersebut,” ujar Zizan.

Bercakap mengenai kontroversi yang tidak henti mengekori langkahnya, Zizan menganggap perkara tersebut sebagai lumrah bergelar artis. Tidak marah dengan tumpuan yang diberi kepadanya, Zizan menelan berpegang kepada nasihat ibunya, Anai Ibrahim, 58, untuk terus kuat menghadapi cabaran dalam hidup.


“Ibu ada berpesan supaya terus kuat dan menganggap semua kontroversi itu sebagai cabaran dalam hidup. Jadikan semua yang berlaku sebagai pengajaran untuk saya lebih kuat pada masa depan. Status sebagai artis membuatkan ramai orang ingin tahu kisah peribadi saya.

“Saya tidak boleh elak kontroversi kerana itu harga yang perlu dibayar apabila bekerja dalam bidang seni. Meskipun pelbagai cerita ditulis tentang saya, kisah sebenar hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu. Sebab itu, saya akan mengutamakan keluarga dalam segala hal kerana mereka sahaja akan memberi sokongan dalam apa jua keadaan dan tidak akan menipu saya,” tuturnya.

Kontroversi bermula dengan ‘drama’ cintanya bersama pelakon Emma Maembong, bagaimanapun, hubungan mereka sah putus sekitar Januari lalu. Pada masa yang sama, nama Zizan juga dicemari dengan gosip didakwa sebagai lelaki kasanova.

Tidak lama kemudian, perhatian teralih kepada cerita perkahwinan Zizan apabila mengumumkan bakal menamatkan zaman bujang sekitar Jun depan. Kisah itu tersiar dalam sebuah akhbar mingguan. Merahsiakan identiti bakal isterinya, keluarga Zizan didakwa telah merisik gadis pilihannya itu.

Mengakui masih belum mempunyai tarikh perkahwinan, Zizan turut menafikan perancangan perkahwinannya dibuat secara tergesa-gesa untuk menutup kontroversi. Sebaliknya, dia telah lama merancang untuk menamatkan zaman bujang pada usia 30 tahun, tetapi hubungan dengan Emma terputus di tengah jalan menyebabkan impian tersebut tidak terlaksana.

Pelakon filem Cicakman 3 itu turut menjelaskan, kariernya tidak terjejas sebaliknya berjalan seperti biasa. Selain menjadi juri program Ceria Pop Star, dia juga bakal memasuki set penggambaran filem Abang Long Fadil 2 dan juga drama Strawberi Karipap Sesat di Australia.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan jujur saya katakan, tiada langsung perubahan yang saya rasai walaupun dilanda kontroversi tanpa henti. Saya masih sibuk seperti biasa dan akan memasuki set penggambaran filem dan drama.

“Saya percaya pada rezeki Allah. Biar apapun yang berlaku, selagi saya berusaha dan ikhlas dan bekerja, rezeki tetap ada di mana-mana. Semuanya berbalik kepada diri sendiri, bagaimana menangani situasi yang berlaku. Sekarang zaman internet, orang boleh bercakap apa sahaja tentang seseorang artis. Jika saya ambil serius setiap yang diperkatakan orang, saya telah menyusahkan diri sendiri,” luah Zizan.

Previous Post Next Post