Lana ajar David kenali Melayu



“SAYA sayang isteri saya banyak-banyak,” ungkap David McKienzie dalam bahasa Melayu selepas membacakan taklik pada majlis pernikahannya dengan pelakon Lana Nodin yang berlangsung di Restoran Kim Ma, Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor, Jumaat lalu.

Meskipun ungkapan tersebut memecahkan gelak tawa hampir 300 hadirin yang hadir, namun di sebalik ayat spontan itu, tersimpan segudang rasa ikhlas yang lahir daripada hati suci seorang suami.

Di bahagian penjuru hadapan ruang restoran, Lana atau nama lengkapnya, Mazlina Hasan Nodin, 35, yang duduk di atas peterana kecil berhias lampu-lampu neon berona ungu tersenyum bahagia. Dia menyambut ungkapan manis tersebut sebagai tanda terikatnya cinta antara dua jiwa.

Mengakui tersentuh dan sebak selepas selamat bergelar isteri kepada David, Lana menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana bertemu jodoh selepas lima tahun bergelumang dengan kontroversi.


“Saya berasa sedikit sebak sepanjang majlis pernikahan ini. Selepas dilanda dengan pelbagai kontroversi sejak beberapa tahun lalu, takdir akhirnya menemukan saya dengan David.

“Sejujurnya, perasaan saya agak bercampur baur. Gembira dan terharu,” ujar Lana yang turut terharu melihat ayahnya, Hasan Nodin Mohd. Zaidi menitiskan air mata saat anak perempuannya sah bergelar isteri.

Menelusuri kembali perjalanan cinta mereka berdua, Lana mula mengenali David, 35, seorang atlet bola tampar yang berasal dari Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) sewaktu menghadiri sebuah majlis sukan yang diadakan di Singapura pada 25 Oktober tahun lalu.

Serius mahu membawa hubungan ke fasa seterusnya, David kemudiannya memeluk Islam pada 5 Disember 2015 sebelum melamar Lana pada 3 Januari lalu. Ketika itu mereka sama-sama bercuti dan melawat keluarga David di AS.

Melihat kepada kesungguhan David atau nama Islamnya, Mohd. Daud McKienzie yang memikat hatinya, wanita kelahiran Kuching, Sarawak itu terus bersetuju mengakhiri hubungan tersebut dengan ikatan perkahwinan.

“Saya melihat ikatan yang terbina ini sebagai takdir yang telah ditentukan oleh Allah. Sebenarnya, kami bercadang untuk bernikah hujung tahun ini. Disebabkan David bakal sibuk dengan latihan dan persediaan untuk kelayakan sukan Olimpik dari bulan Jun sehingga September depan, kami terpaksa menyegerakan majlis pernikahan sebelum tibanya bulan puasa.

“Alhamdulillah, walaupun mengambil masa yang agak singkat, segala yang dirancang berjalan seperti yang diharapkan,” kata Lana.

Lebaran di AS

Berbicara mengenai perancangan selepas mendirikan rumah tangga, Lana dan David akan terbang ke Singapura sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur untuk menyambut awal Ramadan.


TEMAN selebriti yang hadir antaranya, (dari kiri) Sasha Saidin, Julia Ziegler, Lisdawati, Chacha Maembong dan Aishah Ilias.

“Saya akan ke Singapura pada hari Isnin (hari ini) bagi menemani suami menguruskan akademi bola tamparnya di sana. Kemudian, kami akan menyambut puasa di Malaysia selama dua atau tiga hari sebelum berangkat ke AS.

“Saya akan menetap di sana sehingga David tamat latihan kelayakannya, Jadi, tahun ini saya akan menjalani ibadat puasa dan menyambut hari raya di AS,” kongsinya yang turut pertama kali berpuasa dan akan menyambut hari raya di luar negara.

Walaupun dilihat bakal menghabiskan kebanyakan waktu di luar negara, Lana tidak berhasrat untuk terus menetap di negara kelahiran suaminya itu.

“Saya boleh menetap di sana, tetapi bukan dalam jangka masa yang panjang. Selain tidak tahan sejuk, saya juga tidak mampu untuk menjamah makanan yang dimasak cara Barat sebagai rutin hidup.

“Saya masih mahukan nasi dan lauk-pauk masakan Melayu,” ujar Lana jujur.

Setia

Di mata David, kesetiaan Lana mengikut cara kerja dan jadual padatnya sebagai seorang atlet antarabangsa, disifatkan sebagai satu pengorbanan yang cukup berharga.

Katanya, dia berasa sungguh bertuah kerana Lana selalu mengutamakan dirinya dalam segala hal.

“Kesetiaan dan sikap tolak ansur Lana yang tidak berpenghujung menyebabkan saya begitu menyayanginya.


KELUARGA kedua-dua belah pihak merakamkan gambar bersama usai majlis pernikahan Lana dan David.

“Sejak bercinta sehinggalah sudah bergelar suami isteri, dia sentiasa mendahulukan saya dalam banyak hal. Saya sangat hargai apa yang telah dia lakukan untuk saya,” ujar David.

Bagaimanapun, David juga tidak menolak seandainya suatu hari nanti, dia dan Lana ditakdirkan untuk terus menetap di Malaysia.

“Saya sudah ada sebuah akademi bola tampar di Singapura dan turut merancang untuk membuka sebuah lagi akademi di sini. Dalam masa yang sama, saya turut berkomunikasi dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tentang perancangan pembukaan akademi tersebut.

“Saya berharap, jika rancangan untuk membuka sebuah lagi akademi di sini berjaya, saya akan terus menetap di Kuala Lumpur,” ujar David yang turut menyukai makanan dan juadah tempatan.

Melanjutkan bicara mengenai perancangan masa depan, Lana tidak meletakkan sebarang sasaran untuk mendapatkan anak.

Katanya, dia hanya menyerahkan kepada takdir dan menerima setiap rezeki yang diberikan Allah.

“David pernah bertanya, sama ada saya bersedia untuk hamil memandangkan kami perlu bergerak ke banyak tempat dalam masa terdekat ini.

“Saya tidak kisah dan menganggap anak sebagai anugerah Allah. Jika ada, saya menerima dengan penuh kesyukuran,” jelas Lana.

Majlis meriah

Mengimbau kembali momen indah pada majlis pernikahan tersebut, Lana dan David diraikan dalam suasana penuh kemeriahan. Dilengkapi dengan dua pelamin landai, ruang restoran makanan Cina itu terhias indah dengan pelbagai jenis bunga berwarna putih dan merah jambu.

Pada majlis tersebut, Lana menerima mas kahwin sebanyak AS$10,000 (RM32,000) dan sebentuk cincin bertatahkan berlian. Pihak lelaki turut menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pihak pengantin perempuan.

Majlis resepsi Lana dan David diadakan di sebuah dewan di hotel yang sama pada sebelah malamnya.

Previous Post Next Post