Lana Nordin sebak lihat kesungguhan Daud



JIKA diselak kembali, saban tahun, pasti ada saja berita kurang enak mengenai kisah cintanya diperkatakan namun berjaya dihadapinya dengan hati yang sangat tabah.

Berkat ketabahannya itu, aktres kontroversi, Lana Nodin akhirnya menemui cinta sejatinya dan selamat dinikahkan dengan pasangannya, David McKienzie atau nama Islamnya, Mohd Daud McKienzie pada 15 Mei lalu.

Kelihatan sebak sejurus dinikahkan, pemilik nama penuh Mazlina Hasan Nodin ini mengakui hatinya cukup tersentuh dengan situasi yang berlaku ketika itu.

“Saya gementar tapi pada masa sama saya terharu melihat kesungguhannya melafazkan akad nikah dalam bahasa Melayu. Ya, dengan sekali lafaz, saya menjadi isterinya.

“Keduanya, saya tak dapat menahan sebak apabila melihat ayah mengalirkan air matanya. Dah pasti, itu membuatkan saya bertambah sedih.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Selepas 35 tahun inilah jodoh saya dan segala urusan berjalan lancar dan dipermudahkan ALLAH SWT,” katanya ketika ditemui usai majlis pernikahannya yang berlangsung di Hotel Palace of The Golden Horses, Jumaat lalu.


Lana dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Al-Islah, Serdang Raya, Ustaz Mohd Ramizi Ramli dengan berwalikan bapanya, Hasan Nodin Mohd Zaidi dan mas kahwin berjumlah USD10,000 (RM32,000).

Selain itu, pasangan sama cantik sama padan ini turut menerima lima berbalas tujuh dulang hantaran manakala wang hantaran pula dirahsiakan.


Senang dengan Daud

Biarpun usia perkenalan mereka singkat, Lana yang mengakui sangat senang dengan sifat suaminya itu.

Bahkan kata Lana, suaminya yang juga jurulatih dan pemain bola tampar Amerika Syarikat (AS) itu sangat mengetahui akan setiap kontroversi yang tercipta ke atas dirinya, sebelum ini.
“Saya bukanlah seorang hipokrit sebaliknya saya sentiasa menjadi diri saya sendiri.

“Bahkan dia sangat mengenali saya dan dia tahu semua kisah silam saya. Dia tidak menghakimi saya hanya berdasarkan kepada cakap-cakap orang.

“Apabila mengenali saya, dia tahu bagaimana saya sebenarnya. Malah, suami juga tak pernah menyuruh saya berubah atau sebaliknya.

“Bukan saja saya yang sangat menyenanginya, tetapi juga ibu dan bapa serta keluarga saya. Dia seorang yang pandai mengambil hati dan cepat mesra,” katanya.

Selain itu, pelakon filem Pontianak vs Orang Minyak ini begitu menghormati kesungguhan Daud mendalami ilmu Islam serta mempelajari adat resam masyarakat Melayu.

“Sebelum ini, dia pernah menetap di Timur Tengah, malah di AS dia juga ada menghadiri kelas-kelas agama dan kami sekeluarga juga bersedia membantunya.

“Dia sentiasa bersifat ingin tahu. Tak kiralah mengenai apa pun. Seperti proses sebelum menikahi saya, dia belajar mengenainya apa yang perlu dilakukannya,” katanya.


Jadi suri rumah?

Merencanakan mengenai perjalanan hidupnya selepas bergelar isteri, bintang filem Tokan ini mengakui perlu sentiasa berada di samping suaminya dan bersedia berkorban segala-galanya.

“Memandangkan saya tak balik beraya tahun ini, jadi selepas tiga hari berpuasa, kami akan berangkat ke AS kerana dia perlu menjalani latihan bola tampar untuk kelayakan Sukan Olimpik, tahun depan.

“Kami akan berada di sana dalam tempoh lima bulan dan waktu itu tugas saya adalah menjadi suri rumah sepenuh masa. Karier lakonan saya juga hanya akan difikirkan selepas sekembalinya ke tanah air, kelak.

“Buat masa ini, saya perlu sentiasa berada dekat dengannya sementelah lagi ramai yang mengharapkan dia akan melepasi kelayakan Sukan Olimpik tahun depan. Pastinya, dia sangat memerlukan sokongan saya,” katanya.

Bakal berbulan madu di AS, baik Lana mahupun Daud, keduanya bagaimanapun tidak mahu merancang mengenai soal cahaya mata sebaliknya meletakkan sepenuhnya kepada takdir ALLAH SWT.

“Tak nak rancang-rancang, takut lain pulak jadinya. Saya serahkan semuanya kepada takdir.

“Cepat atau lambat, terserahlah pada ketentuan-Nya,” katanya yang menginginkan empat anak.

Previous Post Next Post