Mustar Juara Kilauan Emas 5 Rangkul RM110,000, Motosikal


Mustar juara pertandingan Kilauan Emas musim kelima.

Peserta dari Selangor iaitu Mustaffa Rasyid Abd Jabar menepati ramalan apabila muncul sebagai juara pertandingan Kilauan Emas musim kelima yang diadakan secara langsung di Pusat Konvensyen CIDB di sini pada malam Rabu.

Mustaffa atau lebih mesra dengan sapaan Mustar menerima hadiah berupa wang tunai RM100,000, sebuah motorsikal sumbangan Royal Enfield bernilai RM50,000, sebuah kerusi urut sumbangan Go Shop beserta trofi.


Mustar, 47, turut menerima Anugerah Khas Juri dan membawa pulang RM10,000.

Naib juara pula milik Wan Muhammad Logan Wan Abdul atau Elji, 44, berjaya membawa pulang hadiah tunai berjumlah RM50,000, perkakas masakan sumbangan Go Shop berserta trofi.

Manakala tempat ketiga milik Mursalim Muhidin atau Aling, 44 dan melayakkan dia menerima hadiah wang tunai berjumlah RM30,000, perkakas memasak sumbangan Go Shop berserta trofi.



Ailing (kanan) menerima hadiah daripada juri tetap Kilauan Emas 5, Erra Fazira.

Satu-satunya peserta wanita, Hazlina Wati Zainuddin, 42, terpaksa berpuas hati ditempat terakhir dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan trofi.


Terdahulu, Mustar dan Elji berentap dalam pusingan 'battle' bagi memberi peluang kedua kepada mereka untuk mendapat undian penonton bagi merebut gelaran juara.

Hadiah disampaikan oleh Pengurus Saluran Astro Prima, Namanzee Harris.

Markah peserta diadili 70 peratus daripada penilaian juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Erra Fazira dan Datuk Hattan manakala 30 peratus lagi berdasarkan undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) penonton.


Elji

Penerbit dan pelakon Datuk Rosyam Nor pula dijemput sebagai juri jemputan.

Pada peringkat akhir ini menyaksikan para peserta diberi peluang memilih sendiri lagu pilihan mereka menerusi dua pusingan persembahan.

Selain menyanyi secara solo, peserta juga perlu mengadakan persembahan bersama artis undangan.

Empat artis yang tampil berduet dengan kesemua peserta adalah Abdul Rahman Kamaruddin, Maria Bachok, Lan Kristal dan Adira.

Program yang dikendalikan oleh Raja Azura itu turut menampilkan persembahan istimewa daripada Joey (BPR), Man Bai, Ali (XPDC) dan Mael (XPDC).

Kilauan Emas musim kelima disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Prima dan Maya HD pada pukul 9 malam.

Previous Post Next Post