Nelydia Senrose berbicara soal jodoh



SEJAK kebelakangan ini, hubungan cinta pasangan serasi, Nelydia dan Qi Razali sering menjadi tumpuan umum.

Pelbagai pihak termasuk peminat tidak sabar melihat pasangan ini disatukan sehingga timbulnya pelbagai spekulasi di mana Nelydia dan teman lelakinya itu dikatakan bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.

Enggan bercakap lebih lanjut mengenai perkara itu, bintang Bukan Kerana Aku Tak Cinta ini menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Illahi.

“Buat masa ini masih belum ada apa-apa perkembangan dan saya sendiri tidak tahu lagi mengenai perkara itu. Saya lebih selesa tidak bercakap lebih lanjut mengenai perkara ini.

“Bukan kerana apa, cuma saya takut kalau keluarkan apa-apa kenyataan mana tahu akan datang akan jadi perkara sebaliknya.

“Bagi saya, biarlah perkara ini benar-benar disahkan barulah saya akan berkongsi dengan semua pihak.

“Kami telah berkawan lama, saya juga mahu hubungan ini berakhir dengan sesuatu yang baik,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media drama komedi Strawberi & Karipap siaran Astro Ceria di Marmalade Cafe, Bangsar Village, baru-baru ini.

Menurut Nelydia, perbincangan mengenai hal hubungannya itu hanya akan dilakukan selepas ibunya, Mosmizai Mohd Noor, 48 kembali daripada menunaikan ibadah umrah.

“29 Mei ini, ibu akan ke Tanah Suci untuk tunaikan umrah, jadi saya tidak mahu mengganggu dia untuk membuat persiapannya.

“Lagi pun biarlah dia doakan supaya semuanya dalam keadaan baik di sana.

“Mungkin selepas dia pulang nanti dan saya juga sudah selesai dengan kerja-kerja yang sepatutnya, kami akan berbincang mengenai hal ini,” ujarnya.


Nafi rimas

Biarpun usianya tahun ini baru mencecah 21 tahun, namun itu bukanlah kayu pengukur buat pelakon cantik ini melangkah ke perhubungan lebih serius.

“Kalau ditanya sama ada saya sudah bersedia untuk berkahwin, sebenarnya saya sendiri pun tidak ada jawapan.

“Tapi bila sudah sampai ke masa itu, mungkin akan ada rasa yakin dan saya sudah bersedia,” ujarnya.

Sering diasak dengan soal jodohnya, Nelydia menganggapnya itu sebagai perkara yang positif.

“Memang itu antara soalan yang selalu ditanya, tapi saya tidak rimas pun malah saya faham situasi yang berlaku.

“Biarlah semua berlaku secara semula jadi kerana saya tidak mahu bertunang atau bernikah semata-mata kerana tidak mahu ditanya lagi mengenai perkara sama,” katanya.


Serasi bersama Zizan Nin

Beralih pada karier lakonannya, Nelydia akui selesa bergandingan dengan pelakon Zizan Nin menerusi drama komedi Strawberi & Karipap.

“Untuk mendapatkan keserasian dengan Zizan tidaklah susah lagi pun kami digandingkan sejak musim pertama drama ini.

“Zizan seorang yang berpengalaman, jadi dia tahu bezakan karakter dalam drama dan realiti.

“Tambahan pula untuk menjayakan drama ini, kami tidak perlu untuk terlalu menonjol sebagai pasangan kekasih kerana ia lebih fokus pada jalan cerita yang dilakonkan oleh pelakon kanak-kanak yang terlibat.

Selain menampilkan Nelydia, Zizan dan Uqasha Senrose, Strawberi & Karipap musim kedua ini turut dibintangi pelakon cilik iaitu Mia Sara, Rykarl Iskandar dan Jelita Kako.

Berkongsi pengalaman bekerjasama dengan pelakon cilik yang terlibat, Nelydia akui ia pengalaman yang berharga buat dirinya.

“Saya memang suka budak-budak dan di set penggambaran, saya anggap diri sebagai kakak mereka.

“Ada masa bila mereka terlalu ‘hyper’ saya akan tegas, tapi tidaklah sampai terasa hati.

“Dari apa yang saya lihat, walaupun fizikal tidak terlalu beza, tapi pemikiran dan cara kerja mereka berubah berbanding musim pertama.

“Tapi untuk Jelita, saya memang suka dengar suaranya yang seperti kartun. Walaupun banyak yang perlu dia belajar, tapi saya tidak jemu tunggu dia menghabiskan babaknya,” seloroh Nelydia.

Strawberi & Karipap musim kedua bersiaran pada setiap Ahad pada jam 11 pagi secara eksklusif menerusi saluran 611 dan Maya HD (135).

Previous Post Next Post