Nita Hamzah tidak percaya orang ketiga



Nita HAMZAH lebih selesa menguruskan sendiri jadual seninya berbanding menggunakan khidmat pengurus gara-gara pernah ditipu baru-baru ini.

PENYANYI Nita Hamzah mengakui, berasa serik untuk meletakkan kepercayaan kepada mana-mana individu bagi menguruskan kerjaya seninya gara-gara ditipu pihak yang menguruskan persembahannya baru-baru ini.

Nita, 35, mendedahkan pihak tersebut yang menguruskan persembahannya dalam satu majlis tidak melunaskan jumlah bayaran yang sepatutnya. Lebih malang lagi, usaha untuk mendapatkan bayaran yang sepatut diperolehinya juga tidak membuahkan hasil sehingga ke hari ini apabila pihak terbabit gagal dihubungi.

Ikuti temu bual bersama Naib Juara Malaysian Idol musim kedua itu yang ditemui dalam satu majlis hiburan di ibu negara baru-baru ini.


Artis Meletop!: Dikhabarkan Nita pernah ditipu individu yang terlibat dalam pengurusan persembahan baru-baru ini. Boleh anda ceritakan dengan lebih lanjut mengenai kes tersebut?

NITA HAMZAH: Kalau diikutkan, saya tidak mahu memperbesarkan hal itu. Namun, untuk memberi pengajaran kepada semua orang di luar sana, saya fikir, kenapa tidak saya bercerita sedikit sebanyak hal itu.

Kejadian itu berlaku baru-baru ini ketika saya membuat persembahan untuk sebuah acara. Sebelum ini, saya memang menguruskan sendiri jadual kerja. Malangnya, usai persembahan, saya masih belum mendapat sebarang bayaran hasil daripada titik peluh dan komitmen yang diberikan.

Saya ada menghubungi pihak tersebut untuk bertanyakan bayaran. Mula-mula dia menjawab panggilan saya, tetapi tiba-tiba putus. Ketika kali kedua saya mencuba menghubunginya, langsung tidak berangkat.

Jadi, adakah selepas kes itu anda nekad untuk tidak lagi menggunakan khidmat orang tengah dalam mana-mana persembahan?

Mungkin sekarang ramai yang tidak tahu saya sebenarnya sudah bergerak secara sendiri tanpa memerlukan mana-mana pengurus menguruskan jadual kerjaya saya.

Saya akui, walaupun itu merupakan kali pertama saya ditipu, namun pengalaman tersebut membuatkan saya serik untuk meletakkan kepercayaan kepada orang luar.

Selepas ini, biarlah saya bergerak secara sendiri. Cara begitu, lebih baik sebenarnya.

Selepas ini, apakah langkah berjaga-jaga yang akan diambil supaya tidak ditipu lagi?

Jika selepas ini saya terpaksa menggunakan khidmat orang ketiga untuk menguruskan persembahan, saya perlu memastikan ada dokumen atau perjanjian yang sah.

Dalam erti kata lain, perlu ada dokumen hitam putih dan mengandungi maklumat, tarikh, jumlah bayaran dan semua yang berkaitan untuk mengelak daripada ditipu.

Beralih kepada soal peribadi. Bagaimana pula hubungan cinta anda dengan teman lelaki yang dikenali sebagai Fareez. Ada sebarang perkembangan?

Setakat ini, Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Walaupun masing-masing sibuk, namun ada masanya kami sempat meluangkan masa bersama-sama.

Kami sudah lebih setahun mengenali hati budi, tetapi apa yang saya boleh kongsikan, hubungan kami masih belum ke arah yang lebih serius (perkahwinan).

Bukan tidak berusaha, tetapi bak kata orang, kalau belum sampai jodoh, apa lagi yang harus saya buat.

Memandangkan kini anda sudah berusia 35 tahun, manakala pasangan pula masih muda, adakah perkara itu tidak mendatangkan tekanan kepada anda?

Secara jujurnya, tidak. Saya masih okey dengan status solo. Walaupun masih muda, tetapi dia sangat memahami keadaan dan diri saya. Sebagai seorang lelaki muda, sikapnya tidak menggambarkan usia sebenar. Dia sangat matang dan menghormati saya sebagai pasangan kekasih.

Dalam hal ini, kedua-dua pihak tidak mendesak, baik diri kami mahupun keluarga. Tambahan pula, adik-beradik saya semuanya sudah pun berkahwin. Saya jenis yang selesa melihat adik-adik yang berkahwin terlebih dulu.

Beralih kepada perkembangan terkini anda, rasanya sudah lama tidak muncul dengan produk baharu?

Insya-Allah, perancangan untuk membuat single terbaharu memang ada, tetapi buat masa sekarang saya masih mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk ke arah itu.

Memandangkan zaman sekarang bukan mudah untuk menghasilkan sebarang single atau album, jadi saya perlu ada persediaan yang rapi. Selain itu, saya juga masih sibuk dengan kerja pengacaraan dan aktiviti menyelam.

Pada masa yang sama, sekarang saya mencuba nasib untuk bergelar usahawan dengan menjual produk kecantikan, Bee Venom secara online.

Previous Post Next Post