Penjenamaan semula Rafidah Ibrahim



WALAUPUN lebih sembilan tahun berkecimpung dalam industri hiburan, entah di mana silapnya, perjalanan karier seni Rafidah Ibrahim tidak selancar disangka.

Masakan tidak, nama Juara Pencarian Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007 ini sering dihambat kontroversi sehingga dilabel artis bermasalah dan bagi meredakan keadaan itu, artis berusia 29 tahun ini memilih mendiamkan diri sepanjang 2014.

Bertekad melupakan kisah lama, anak bongsu daripada 12 beradik ini berhasrat membuat kemunculan semula yang kemudiannya diikuti dengan beberapa perubahan untuk memantapkan lagi kerjaya seninya, tahun ini.

"Pada 2013, terlalu banyak kisah negatif mengenai diri saya. Jadi, tahun lalu, saya ambil keputusan perlahankan aktiviti seni termasuklah tidak menghadiri sebarang majlis penganugerahan.

"Untuk tahun ini, saya mahu kembali dengan penampilan lebih baik dan teratur," katanya kepada Zass ketika ditemui selepas pelancaran portal membeli-belah atas talian, GemFive, baru-baru ini.

Bagaikan penjenamaan semula, pelantun lagu Apo Kono Eh Jang ini juga mahu dikenali dengan nama penuhnya Rafidah Ibrahim dan bukannya Fida Ibrahim serta bakal diuruskan abangnya, Ayep Shah mulai Jun depan.


"Sebenarnya, sejak awal kemunculan saya dalam bidang ini, saya mahu dikenali dengan nama Rafidah Ibrahim. Tapi, tak sangka pula apabila nama panggilan saya pula iaitu Fida yang digunakan ramai pihak.

"Jika nak tahu, semasa saya menyertai program TV, keluarga ada meletakkan beberapa syarat yang membolehkan saya meneruskan penglibatan dalam bidang seni.

"Oleh sebab itu, soal bertukar pengurus dipersetujui keluarga hasil perbincangan bulan lalu. Lagipun, keluarga tak suka apabila nama saya sering dikaitkan dengan kontroversi," katanya.

Menyifatkan pengurus baharunya seorang yang tegas, Rafidah mengakui dia tidak takut sekiranya pergerakannya akan dikongkong abangnya.

Baginya, segala tindak tanduk abangnya itu pasti ada sebab musababnya tersendiri.

"Kalau boleh, saya tidak mahu lagi kontroversi. Cukup-cukuplah.

"Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati dan tak akan membiarkan orang lain membuat keputusan tentang apa yang akan saya lakukan terutamanya salam soal penampilan. Biarlah abang buat keputusan.

"Memang abang tegas orangnya, tapi saya tahu tindakannya itu untuk kebaikan saya juga. Lagipun tidak manis apabila saya ke sana ke mari dengan pengurus lelaki yang bukan keluarga kita," katanya.


Impi berduet dengan Zamani?

Sejajar dengan kemunculannya itu, Rafidah bakal merakamkan tiga lagu di mana dua di antaranya adalah lagu duet manakala satu lagi secara solo.

Bagaimanapun, pelakon Kelas 5 Bintang itu tidak mahu menguar-uarkan gerangan rakan-rakan duetnya itu.

"Masih terlalu awal untuk memberitahu perkara itu. Siapakah penyanyi itu, biarlah ia kekal menjadi rahsia.

"Tapi, pada awalnya, saya pernah meletakkan impian untuk berduet dengan penyanyi terkenal era 90-an, Zamani kerana terpikat dengan suara lunaknya.

"Namun, hasrat itu tidak kesampaian lantaran masalah yang dihadapi oleh penyanyi tersebut," katanya.

Katanya, dia kini sedang berusaha menghasilkan single demi single sebelum mengeluarkan album, tidak lama lagi.

Sementara itu, Rafidah kini sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan apabila mengusahakan butik pakaian kanak-kanak, Tiny Quay di Shah Alam.

"Tak ramai pilih perniagaan menjual pakaian kanak-kanak, jadi saya ambil kesempatan yang ada.

"Lagipun, hasil dari pemerhatian saya, kebanyakan ibu bapa ini akan lebih berbelanja barangan anak-anak berbanding diri sendiri.

"Tiny Quay juga boleh didapati melalui jualan online di Instagram," katanya yang juga bercadang untuk mengeluarkan produk kecantikan jenama R'Secret.

Dalam perkembangan lain, Rafidah baharu saja tamat menjalani penggambaran drama bersiri 26 episod, Setulus Janji di RTM dan telefilem komedi, Idris MLM arahan Mamat Khalid untuk Astro.

Previous Post Next Post