Projek spontan Yuna


YUNA menghiburkan peminat yang hadir pada majlis pelancaran album terbaharunya, Material dengan beberapa buah lagu hit seperti Lautan dan Dan Sebenarnya.

Satu realiti yang harus diakui, tidak ramai dalam kalangan artis di negara ini yang berjaya mencipta nama di luar negara, lebih-lebih lagi di negara seperti Amerika Syarikat (AS) yang cukup terkenal dengan perkembangan pelbagai genre muzik sejagat.

Namun, jika disebut sebaris nama wanita muda ini, pasti semua masyarakat di Malaysia mengetahui tentang kejayaan Yunalis Zarai atau Yuna yang berjaya menempa nama di negara orang hanya setahun selepas berjaya menjadi artis muda popular di tanah air sendiri.

Meskipun sudah empat tahun mencipta nama di luar negara, namun kerinduan anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu terhadap peminat di Malaysia yang sentiasa memberi sokongan terhadap kariernya selama ini tidak pernah dilupakan.

Demi peminat, Yuna muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Material yang selamat dilancarkan pada satu majlis di Coffee Planet, Quill City Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Material

Mengandungi tujuh buah lagu gabungan daripada beberapa buah lagu lama dan baharu, album Melayu pertama daripada Yuna itu menyelitkan beberapa buah lagu hit iaitu Lelaki dan Dan Sebenarnya. Dan Sebenarnya yang merupakan lagu pengenalan Yuna dalam lapangan hiburan tempatan telah dirakamkan semula apabila ia disuntik dengan susunan muzik yang lebih segar dan trendy.

Mengulas lanjut mengenai Material, Yuna, 28, berkata, selepas dua tahun tidak tampil dengan album, kini sudah tiba masanya dia memberikan hadiah atau material terbaharu buat peminatnya yang berada di Malaysia.

“Lagu-lagu yang terkandung dalam album ini sebenarnya sudah lama berada dalam simpanan saya dan komposer AG Coco. Jadi, album ini merupakan projek spontan yang dilakukan oleh kami.

“Sebelum ini saya sangat sibuk dengan kerjaya dan terpaksa berulang-alik antara AS dan Malaysia. Secara tidak langsung, perkara itu menimbulkan perasaan serba salah dalam diri saya kerana sudah lama tidak muncul material terbaharu buat peminat di sini.

“Walaupun banyak menghasilkan single, namun satu perkara yang saya sedar, single-single ini tiada ‘rumah’ untuk disimpan. Jadi, disebabkan tahun ini jadual sedikit longgar dan ada sedikit kelapangan, saya gunakan masa terluang itu untuk menghasilkan album,” jelasnya panjang lebar.

Album itu juga mengandungi lagu baharu daripada Yuna iaitu Material. Bicara Yuna jujur, hayat lagu tersebut sebenarnya sudah dua tahun. Namun, baru kini dia berkesempatan membawa lagu itu keluar daripada poket simpanannya.

Persepsi


YUNA tampil anggun pada majlis pelancaran album terbaharunya, Material di Coffee Planet, Quill City Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditebak mengenai isi kandungan lagu Material yang menyentuh tentang sikap riak seseorang menerusi media sosial dilihat mampu mengundang perspektif negatif kepada dirinya sebagai penggubah lagu sama seperti single Lelaki, Yuna hanya tersenyum manis.

Baginya, selama dia berkarya, lirik dan lagu yang dihasilkan tidak pernah mempunyai kaitan dengan isu menyindir atau memperlekehkan mana-mana individu. Sebaliknya, ia hanyalah cara dia meluahkan isi hati atau pandangan di sekeliling dalam sesebuah lagu.

“Sama seperti lagu Lelaki, dahulu sewaktu ia didengarkan di corong radio, ramai pihak yang mempertikaikan lagu tersebut. Sehingga ada yang mengecam saya menyindir kaum lelaki.

“Bagi orang yang tidak memahami maksud sebenar lirik sesuatu lagu, mereka akan memandang karya tersebut sebagai teruk. Saya juga seorang perempuan biasa yang menjalani kehidupan biasa sama seperti orang lain.

“Saya hidup dalam kelompok manusia yang ramai dan bermacam ragam. Jadi, dari situ timbul pelbagai idea untuk saya menyuarakan pendapat tentang perilaku sesetengah manusia pada hari ini.

“Seperti lagu Material, ia melibatkan cerita berkaitan sikap manusia yang suka menunjuk-nunjuk. Terutamanya pada zaman sekarang ada banyak platform media sosial bagi mereka berkongsi apa yang mereka makan, beli dan pakai. Sedar atau tidak, media sosial banyak mengubah manusia menjadi seorang yang bersikap materialistik di hadapan orang lain. Ia realiti, bukan?

“Bukannya perkara yang saya kaitkan dalam sesebuah lagu itu tidak pernah berlaku. Ia memang berlaku saban hari di sekitar kita,” tegas Yuna.

Album Inggeris

Berbicara mengenai perkembangan karier nyanyiannya di negara orang, Yuna yang anggun berturban merah pada majlis itu memberi respons positif. Katanya, setakat ini perkembangan kariernya di sana berjalan dengan lancar dan tersusun.

Tuturnya lagi, kini dia sedang sibuk menyiapkan proses akhir rakaman lagu-lagu bagi album Inggeris terbaharunya yang bakal dilancarkan pada bulan September depan.

“Insya-Allah, segalanya akan berjalan ikut perancangan. Bulan September depan, album ketiga Inggeris saya bakal dilancarkan. Istimewanya, album kali ini mendapat sentuhan pelbagai genre antaranya R&B, hip hop, dan rap.

“Satu kejutan untuk dikongsikan, dalam album itu terdapat sebuah lagu hasil kerjasama antara saya dengan seorang penyanyi ternama Hollywood.

“Lagu tersebut sudah siap dirakamkan. Identiti mengenai penyanyi itu, saya terpaksa rahsiakan buat masa ini. Nanti kalau umumkan awal-awal, tidak seronok,” seloroh Yuna sambil ketawa kecil.

Penerbit yang bertanggungjawab menguruskan album tersebut merupakan dua orang penerbit muzik muda iaitu Fisticuffs.

Dalam perkembangan lain, Yuna berkata, meskipun kini dia semakin rancak mencipta nama di negara luar, namun kebajikan para peminatnya tidak pernah dilupakan. Disebabkan itu, dia merancang untuk mengadakan sebuah konsert menjelang hujung tahun ini. Namun, perancangan itu masih dalam fasa awal untuk dibicarakan buat masa kini.

Previous Post Next Post