Rossa kotakan hajat



BAGAIKAN ada ratusan kupu-kupu kecil yang berterbangan riang dalam ruang jiwa Datuk Rossa beberapa jam sebelum konsert sulungnya, Malam Keajaiban Cinta Bersama Datuk Rossa yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada malam Jumaat lalu.

Dalam gelora debarnya, tersusun imaginasi dan penceritaan kreatif yang bakal dipersembahkan menerusi 23 buah lagu buat 2,000 peminat setia beliau sejak pintu panggung dibuka tepat pukul 8.30 malam.

Ternyata, penantian penggemar penyanyi genit yang berasal dari Sumedang, Indonesia itu tidak sia-sia.

Membuka tirai pentas dengan lagu Takkan Berpaling Darimu, Rossa atau nama lengkapnya, Sri Rossa Roslaina Handayani terus memaku penonton dengan Pudar, karya yang dipetik daripada album studio kelimanya yang diterbitkan pada tahun 2004.

Kemudian, emosi peminat dibuai dengan rangkaian lagu-lagu cintanya seperti Aku Bukan Untukmu, Terlalu Cinta, Tegar, Jagad Khayalku, Memeluk Bulan dan Ku Menunggu.

Sempat mengusik penonton yang ikut menyanyi bersama, Rossa secara berseloroh berkata: “Sekarang saya tahu, mengapa album saya begitu laris dijual.”

Mencuit jiwa penonton, beliau kemudiannya mendendangkan dua buah lagu dendangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu Di mana Kan Ku Cari Ganti dan Tanya Sama Hati.

Memilih untuk memberikan nuansa yang berbeza terhadap konsertnya, Rossa mempersembahkan lagu Awallah Dondang yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Noraniza Idris dan lagu tradisional bangsa Sunda berjudul Es Lilin.

Istimewanya, segmen tersebut diiringi oleh Orkestra Tradisional Malaysia dan penari-penari Istana Budaya.

Terus memacu adrenalin penonton, Rossa menjemput rapper Joe Flizzow untuk menyanyi bersamanya menerusi lagu Apa Khabar dan Katakan. Selain Joe, beliau turut berkesempatan berduet dengan penyanyi Cakra Khan yang diterbangkan khas dari Indonesia menerusi lagu Salahkah.

Bagi memperingati sambutan Hari Ibu yang diraikan beberapa minggu lalu, Rossa menyanyikan dua buah lagu secara medley, Bunda dan Legenda. Menariknya, sebelum mengalunkan medley tersebut, anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan, 9, naik ke atas pentas dan membacakan sajak ringkas buat Rossa.


PENYANYI rap, Joe Flizzow berkongsi pentas dengan Rossa menerusi lagu Apa Khabar, Katakan dan One Night Lover.

Menutup konsert yang dianjurkan oleh Mask Team, Airish Events dan 512 Production itu dengan rangkaian lagu-lagu seperti Atas Nama Cinta, Ayat-Ayat Cinta, Sakura dan Hey Ladies, Rossa membuktikan bahawa sisi matangnya sebagai penyanyi cukup terserlah.

Walaupun diskografinya sarat dengan alunan lagu-lagu cinta berentak balada, Rossa membuktikan masih berupaya untuk memukau penonton menghayati persembahannya sehingga penghujung konsert.

Produksi Malam Keajaiban Cinta Bersama Datuk Rossa bukan sahaja meninggalkan kesan yang mendalam buat penggemar penyanyi itu, malah meletakkan kredibiliti Rossa sebagai penyanyi ke skala lebih tinggi.

Erwin Gutawa

Sewaktu berkesempatan bertemu dengan Rossa usai konsert tersebut, ternyata terpancar riak puas di wajah mulusnya, menandakan apa yang direncanakan untuk persembahan pada malam itu berjalan dengan lancar.

Ironinya, menurut Rossa sendiri, dirinya tidak pernah puas dengan setiap persembahan yang dijayakannya.

“Sejujurnya, perkataan puas itu tidak wujud dalam kamus hidup saya. Setiap kali menjayakan konsert, saya akan pastikan ia menjadi sebuah karya yang terbaik.

“Namun, saya sungguh teruja kerana berpeluang untuk membuat persembahan di Istana Budaya. Jadi, saya mempergunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menghiburkan peminat,” katanya yang berpuas hati kerana tiket untuk kedua-dua malam habis terjual.

Menurut beliau, apa yang membezakan persembahan biasa dengan konsert berskala besar adalah perancangan dan pengisian yang diterapkan oleh seseorang penyanyi itu.

“Guru saya, pemuzik Erwin Gutawa pernah berkata, konsert itu merupakan sebuah perjalanan yang dipersiapkan secara matang dan panjang.

“Selalunya, membikin sesebuah konsert perlu perancangan yang teliti. Jumlah lagu yang dinyanyikan pula perlulah melebihi 12, barulah ia boleh dikategorikan sebagai konsert yang penuh spektakular.


AKSI pelawak Abam bersama Rossa sewaktu mendendangkan lagu Bila Salah.

“Pada masa sama, susunan lagu serta gaya persembahan harus diubah agar peminat yang datang menonton tidak merasa bosan,” ujarnya.

Walaupun hanya mengambil masa selama sebulan untuk mempersiapkan konsert Malam Keajaiban Cinta Bersama Datuk Rossa, tuan empunya diri masih bangga dengan pencapaiannya.

“Alhamdulillah, walaupun masa yang diperuntukkan sangat singkat, namun, konsert ini berjaya dilaksanakan dengan sempurna.

“Semuanya berkat sokongan banyak pihak yang membantu menjayakan konsert Malam Keajaiban Cinta Bersama Datuk Rossa,” tuturnya ikhlas.

Ditanya mengenai perancangan untuk mengadakan konsert yang lebih besar pada masa akan datang, Rossa berkata: “Ianya terletak pada ketentuan takdir. Untuk menjayakan persembahan di Istana Budaya saya terpaksa menunggu hampir lima tahun. Jadi, mungkin selepas ini di Royal Albert Hall, London, siapa tahu?”

Sajak Rizky

Berbicara lanjut mengenai kemunculan putera sulungnya di atas pentas, Rossa berkata, ia merupakan penampilan sulung Rizky dalam persembahannya.

Ujar Rossa, tidak sukar untuk memujuk Rizky mendeklamasikan sajak memandangkan anaknya faham apa yang beliau mahukan untuk konsert tersebut.

“Rizky tahu yang saya mahu dia menyampaikan sajak pada malam konsert menerusi segmen Hari Ibu.

“Jadi, saya menyimpan alat pemain lagu iPod miliknya beberapa hari untuk dia benar-benar setuju menjayakan persembahan tersebut,” ujar Rossa sambil memberitahu, anaknya juga sudah pandai meminta wang bayaran selepas bersetuju untuk membuat persembahan bersamanya.

Previous Post Next Post