Rozana Misbun gagal serah saman


ROZANA Misbun gagal menyelesaikan kes tuntutan hadanah (hak jagaan kekal) tiga anaknya bersama vokalis Wings, Awie.

Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 28 Julai depan untuk sebutan semula kes selepas peguam Syarie Jamal Lokman Mohd Sulaiman memaklumkan, pihaknya masih gagal menyerahkan saman berhubung permohonan tersebut kepada Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman.

Prosiding itu berjalan yang turut dihadiri Rozana, bagaimanapun Awie tidak hadir.

Permohonan hak jagaan kekal tiga anak-anak mereka iaitu Putra Ahmad Merrah, 8; Putra Ahmad Rezzki, 7; dan Puteri Qasseh Antasha, 5, difailkan Rozana awal tahun ini mengikut Seksyen 82 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.


Bercakap kepada pemberita, Jamal berkata, pihaknya gagal menyerahkan saman kepada responden selepas beberapa usaha untuk menemuinya tidak berjaya.

“Responden mengelak daripada ditemui, malah pihak kami difahamkan peguam yang sebelum ini mewakili beliau tidak menerima sebarang arahan daripada responden untuk mewakilinya dalam kes tersebut,” katanya.

Rozana pada 27 Januari lalu mendapat hak penjagaan sementara anak-anak sebelum Awie memfailkan interlokutori untuk mengenepikan perintah ex-parte pada 12 Februari lalu.

Pada 20 April lalu, Awie gagal mengetepikan perintah hak jagaan anak sementara (interim hadhanah) secara sebelah pihak (ex-parte) anak-anaknya yang diperoleh Rozana.

Ketika ditemui pemberita, Rozana berkata, Awie sering kali mengelak daripada ditemui peguamnya menyebabkan saman berkenaan gagal diserahkan.

Previous Post Next Post