Siti Fazurina kembali aktif



SELEPAS menyepi lebih dua tahun, pelakon popular menerusi drama bersiri Dunia Anita, Siti Fazurina Mohd Famir atau Nina mengakui kekok beraksi semula dalam bidang lakonan.

Bagaimanapun dek kecintaannya yang tinggi terhadap bidang seni itu menyebabkan Nina tekad untuk kembali aktif meskipun sibuk menguruskan perniagaan yang semakin maju.

"Saya memang nak sangat buat kemunculan semula. Kini saya sudah bersedia untuk itu. Gementar juga untuk kembali berlakon sebab dah lama tak berlakon. Tapi saya tahu, saya akan cuba memperbaiki tahap mutu lakonan saya dari semasa ke semasa.

"Lagi pula, saya selalu terima rungutan daripada peminat yang sentiasa merindui dan menanti-nantikan kemunculan saya di kaca TV.

"Insya-ALLAH, kalau ada rezeki, saya terima apa saja tawaran berlakon. Kini, sasaran saya adalah kepada watak Islamik ataupun watak yang boleh memberi pengajaran dan membawa penonton ke arah kebaikan. Apa yang penting, ia bersesuaian dengan imej saya sekarang," katanya kepada Zass.


Ketika ditanya adakah suaminya, Hykal Zulkifli ada meletakkan syarat tertentu untuknya kembali aktif berlakon, Nina memberitahu: "Suami saya seorang yang sangat terbuka. Dia adalah pendorong utama saya. Malah, dia juga faham akan kerjaya saya.

"Suami juga banyak membantu dan sebagai seorang yang bekerja dalam bidang pengurusan majlis, jadual kerja yang fleksibel membuatkan dia turut sama turun padang menguruskan apa yang perlu," katanya.

Tambah Nina, dia kini sedang dalam perancangan untuk kembali ke lokasi penggambaran filem sekitar Ogos nanti.

"Insya-ALLAH, selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, saya akan mula berlakon filem.

"Walaupun ini adalah filem kelima saya, tapi ini merupakan kali pertama saya akan memegang sebagai watak heroin.

"Buat masa ini, biarlah ia menjadi rahsia dulu," katanya.

Dalam pada itu, dia juga teringin untuk kembali berlakon teater selepas beraksi dalam teater Sri Mersing, lebih empat tahun lalu.

Selain itu, aktres berusia 33 tahun ini juga sibuk menguruskan perniagaan busana Muslimah, Nina Fazurina Collection dan jual kek serta biskut, Nina Fazurina Cakes & Cookies.

Previous Post Next Post