Siti Saleha dituduh demand



Filem adaptasi terbaru arahan pengarah terkenal, Osman Ali iaitu Langit Cinta, Saleha memberitahu, ia satu pengalaman yang menarik.

BAHARU sahaja mengecap kenangan manis apabila dinobatkan Pelakon Filem Wanita Popular, di Anugerah Bintang Popular baru-baru ini, Siti Saleha kini diuji dengan tuduhan liar.

Aktres berdarah kacukan ini dikatakan mula bersikap 'demand' untuk menerima lakonan atau jemputan ke sesuatu program hiburan.

Terkejut dan kecewa dengan tuduhan tersebut, adik kepada Sam Baharom yang juga vokalis Bunkface ini menafikan pernah meminta bayaran seperti yang didakwa sejak memenangi anugerah.

Ujar Saleha, khabar angin tersebut secara tidak langsung memberi kesan kepadanya dan perjalanan kerjayanya.


“Saya kecewa! Pastinya ia beri kesan pada saya, saya menjadi takut mendengar dakwaan sedemikian walaupun saya tahu ia tidak benar.

“Di mana mereka dengar mengenai isu bayaran itu pun saya tidak tahu. Saya tidak pernah meminta bayaran semata-mata untuk menghadiri satu sidang media atau pun untuk menghadiri program televisyen.

“Bagaimanapun mujurlah ada penerbit masih ada menghubungi saya untuk sebarang tawaran dan tidak bertanya mengenai isu bayaran itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-pelancaran Adaptasi Filem ke Novel Langit Cinta, yang diterbitkan Astro Show dengan kerjasama Alaf 21, di bawah Kumpulan Media Karangkraf, baru-baru ini.

Tidak sekadar memberi kesan terhadap dirinya, Saleha mengakui khabar angin tersebut memberi kesan kepada peminatnya.

Bagaimanapun pelakon berusia 25 tahun ini tidak mudah melatah kerana beranggapan segala dakwaan negatif seperti itu hanya bersifat sementara.

“Saya tahu benda ini sekejap sahaja. Ia tidak akan berpanjangan. Tetapi memang ia (dakwaan) burukkan nama saya juga.
“Memang saya terkejut apabila dengar sahaja dakwaan itu, tetapi nampak tenangkan,” guraunya kepada media.


Teruja diberi kepercayaan

Berkongsi pula mengenai wataknya dalam filem adaptasi terbaru arahan pengarah terkenal, Osman Ali iaitu Langit Cinta, Saleha memberitahu, ia satu pengalaman baru yang sangat menarik.

“Saya sangat berterima kasih kepada abang Osman kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi salah seorang pelakon dalam filem tersebut.

“Dalam filem ini, saya membawakan watak Suzana iaitu seorang doktor yang juga merupakan kawan baik kepada Alif Zulkarnain (Keith Foo).

“Watak Suzana kali ini lebih berpelajaran dan membesar dengan Alif, justeru menyebabkan hubungan kami sangat rapat,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai wataknya dalam filem cinta tersebut, Saleha berkata, Suzana memang mempunyai perasaan terhadap Alif.

“Pada masa yang sama Suzana sanggup berkorban demi orang yang disayangi apabila Alif mencintai Khadijah (Fazura) iaitu seorang gadis kampung,” katanya.

Berkongsi pengalamannya berlakon di bawah arahan Osman, Saleha berkata, Langit Cinta merupakan naskhah pertamanya bersama Osman.

“Alhamdulillah watak Suzana tidak sukar untuk dijayakan. Bagaimanapun setiap watak yang saya lakonkan ada berbeza-beza, namun saya menganggapnya ia satu pengalaman yang sangat indah.

“Tetapi kerja dengan Osman sangat senang kerana dia banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar serta sangat teliti.

“Abang Osman akan menonjolkan semua pelakon dalam filemnya walaupun penampilan watak saya tidak banyak dalam cerita ini. Saya ada di awal dan akhir filem,” katanya yang bakal menjalani penggambaran drama Uda dan Dara di samping Zul Ariffin.

Previous Post Next Post