Wawa Zainal hamil kali kedua



KEHADIRAN cahaya mata di dalam sesebuah keluarga bukan sahaja menjadi pelengkap dan pengikat kasih sayang antara suami isteri.

Bahkan kehadiran cahaya mata memberikan sinar baharu dalam sesebuah keluarga.

Begitulah yang dilalui oleh pasangan romantis, Wawa Zainal dan suaminya, Aeril Zafril.

Siapa sangka dalam perancangan mereka mencari anak angkat buat menemani anak sulung, Ahmad Fakharuddin Attar, empunya diri telah ditakdirkan hamil terlebih dahulu.

“Saya memang tak rancang nak mengandung anak kedua lebih awal. Kalau boleh nak Attar besar sedikit baru nak tambah anak tapi kami berdua memang merancang nak cari anak angkat buat menemani Attar.

“Kasihan Attar main seorang-seorang. Namun, Alhamdulillah ALLAH dengar,” kata Wawa ketika dihubungi Zass baru-baru ini.


Mengakui teruja dengan kehamilan kali ini, Wawa memberitahu akan berehat seketika daripada menjalankan aktiviti seni demi kesihatan diri dan kandungan.

“Saya tak ada alahan mengandung yang teruk. Sekadar loya dan muntah biasa pada waktu pagi, itu sahaja.

“Buat masa ini saya tidak kisah untuk bekerja walaupun mengandung cuma doktor memang menasihati saya untuk berehat kerana kandungan masih di peringkat awal.

"Justeru saya ambil keputusan untuk berehat," katanya.

Wawa berkata, setelah dikurniakan anak lelaki, dia berharap akan dikurniakan anak perempuan kali ini.

“Alhamdulillah, usia kandungan saya sudah pun memasuki empat bulan. Kalau boleh memang nak anak perempuan. Sekarang sejak saya hamil, Attar semakin manja, asyik nak berdukung sahaja," katanya yang memanggil Attar dengan panggilan Yayang atau Langgak yang bermaksud sayang.

Previous Post Next Post