Zamani Slam bebas najis dadah, rindu kembali menyanyi



ZAMANI bersama (dari kiri) Pengerusi Pengasih, Datuk Mohd Yunus Pathi, Jamal Abdillah dan Radhi OAG selepas sidang akhbar di Rumah Pengasih baru-baru ini.

SELEPAS mencipta kontroversi akibat ditahan pihak polis gara-gara memiliki dadah jenis heroin seberat 1.20 gram pada 21 Januari lalu, bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani kini telah menemui sinar baharu dalam hidupnya selepas disahkan bebas daripada pengaruh najis itu.

Zamani, atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim mengakui, tempoh tiga bulan menjalani rawatan dan proses pemulihan di Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) telah memberi kesan positif buat dirinya melawan ketagihan dadah.

Zamani yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang sewaktu zaman kegemilangannya pada era 1990-an menyimpan harapan untuk kembali diterima ke pentas nyanyian.

Ikuti temu bual Kosmo! ketika bertemu pelantun lagu Nur Kasih itu di Rumah Pengasih baru-baru ini.


Artis Meletop!: Selepas tiga bulan berada di Rumah Pengasih, Zamani kelihatan semakin sihat dan stabil. Boleh ceritakan pengalaman anda selama berada di pusat ini?

ZAMANI: Alhamdulillah, seperti yang anda dapat lihat keadaan diri saya sekarang, syukur kini saya lebih sihat, stabil dan berkeyakinan untuk hidup. Berat badan juga sudah naik kepada 55 kilogram, lebih-lebih lagi pada bahagian perut (ketawa).

Tempoh tiga bulan, nampak seperti sekejap bagi orang lain, tetapi tidak bagi saya. Tiga bulan merupakan satu tempoh yang cukup lama, apatah lagi untuk melawan pengaruh dadah.

Kali pertama ditahan pihak polis, pada waktu itu semangat untuk hidup terus hilang. Dunia saya jadi gelap-gelita kerana memikirkan untung nasib hidup dan karier nyanyian selepas ini.

Namun, saya percaya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Saya memang sudah lama hendak berubah dan meninggalkan najis dadah.

Sebab itu saya kuatkan semangat dan bangkit melawan nafsu itu perlahan-lahan. Dengan bantuan pihak Pengasih, Alhamdulillah saya berjaya bebas daripada ketagihan dadah.


Zamani Slam kini hampir pulih daripada ketagihan dadah setelah tiga bulan mendapatkan rawatan di Rumah Pengasih.

Apa perkara paling indah yang anda dapat selama menjalani rawatan pemulihan di pusat ini?

Selama tempoh tiga bulan, perkara paling manis yang saya rasa ialah ketenangan. Dahulu, waktu hidup terumbang-ambing, saya selalu abaikan Tuhan, apatah lagi kewajipan menunaikan solat.

Selepas mendapat sesi kaunseling di sini, saya banyak belajar mengenal Tuhan dan agama. Alhamdulillah, sekarang saya sangat tenang. Aktiviti menarik yang dilakukan di sini termasuklah melaungkan azan sebelum menunaikan solat berjemaah bersama penghuni yang lain.

Pastinya kerinduan peminat untuk melihat anda kembali menyanyi sangat kuat. Bila agaknya anda akan kembali mengubat kerinduan peminat di luar sana?

Kalau bercakap soal rindu, memang saya rindu sangat untuk menyanyi. Siapa yang tidak rindu, tambahan lagi nyanyian merupakan perkara utama dalam hidup saya. Namun, melihat kepada keadaan terkini saya, rasanya masih belum sampai waktu untuk saya kembali ke pentas nyanyian.

Saya memang peminat setia Datuk Jamal Abdillah. Sewaktu mengalami nasib serupa seperti beliau, saya nekad mengikut jejak langkahnya menangani ketagihan dadah.

Kalau beliau boleh lakukan, mengapa tidak saya. Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Insya-Allah, selepas disahkan benar-benar pulih, saya akan kembali menemui semua peminat.

Pada hari ini pun, pihak Pengasih berusaha membawa saya bertemu pihak media untuk menguar-uarkan tentang perkembangan terkini saya. Ini adalah salah satu langkah persediaan untuk melatih dan membina keyakinan dalam diri saya bagi berdepan dengan dunia luar selepas ini.

Bagaimana dengan perkembangan penyakit tulang belakang yang anda sedang alami kini?

Sewaktu disahkan sakit, doktor memberitahu bahawa tulang belakang saya membengkok ke bahagian kiri badan sebanyak 40 darjah. Kesakitan yang dialami tidaklah seteruk mana, tetapi ia membuatkan saya berasa sedikit tidak selesa.

Akibatnya, sekarang saya sukar untuk melakukan aktiviti senaman yang lasak. Saya tidak boleh berdiri lama kerana cepat penat dan kadang-kadang memberi kesan kepada pernafasan.

Disebabkan tulang tersebut membengkok ke arah kiri, ia menghimpit paru-paru. Sebab itu, ada masanya saya sukar untuk bernafas.

Pada 25 Julai depan, saya akan melakukan satu ujian x-ray untuk melihat keadaan dan kedudukan terkini tulang belakang saya. Kalau keadaannya teruk, saya harus mengikut apa sahaja arahan dan rawatan susulan daripada doktor.

Previous Post Next Post