Air tangan Nabila Huda



NABILA sering menghabiskan masa sebagai tukang masak di restoran Kulcats Barrio. Dia memasak hidangan lauk kampung sesuai bufet yang disediakan restoran tersebut.

SEORANG wanita yang wajahnya kerap sekali mengisi kaca televisyen dilihat sedang gigih bersilat dengan senduk dan periuk di dapur restoran terkenal di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Sesekali tawanya pecah dan mulutnya becok berbicara.

Ia tidak ubah seperti babak dalam sebuah naskhah, ironi, wanita itu, Nabila Huda Suhaimi sebenarnya memang sedang benar-benar memasak. Bukannya sedang berlakon, pekerjaan hakiki yang dijalaninya sejak lebih 15 tahun lalu.

Memasak, satu lagi kepakaran yang mengalir deras dalam hidup aktres terkenal itu. Jika khalayak sering terpesona dengan bakat besar yang dipertontonkannya, pasti berasa air tangan anak vokalis Amy Search ini juga menjadi kemestian.

Mewarisi bakat memasak dari kedua-dua belah keluarga ibu dan bapanya, Nabila menjadikan aktiviti memasak bagi mengisi masa lapang sepanjang Ramadan sementelah berehat dari bidang lakonan.

Dibesarkan oleh keluarga sebelah ibu, Faridah Fadzil, Nabila yang ditemui di restoran Kulcats Barrio memberitahu dia gemar menikmati juadah masak lodeh dan rendang hasil air tangan neneknya, Norhayati Ramli, 70, yang menetap di Klang, Selangor.

Selain itu, disebabkan gemar menikmati menu tersebut, Nabila nekad mempelajari satu per satu rahsia masakan neneknya sehingga dia mampu menyediakan juadah tersebut sendiri.


“Disebabkan saya membesar dengan keluarga sebelah mama (panggilan buat ibunya), teknik memasak itu lebih banyak dipengaruhi oleh mereka.

“Keluarga sebelah papa (panggilan buat bapanya) juga tidak kurang hebat, terutama menyediakan juadah rendang daging yang dicampur dengan paru, asam pedas dan kuih bakar.

“Terasa riak pula kalau saya mengaku hebat memasak. Bagaimanapun, saya rasa cukup kalau dikatakan saya mampu menyediakan menu masakan yang digemari oleh seisi keluarga,” jelas wanita berbintang Sagittarius itu.

Tukang masak istimewa

Tidak mahu bakat masakannya hanya terpendam, wanita berusia 32 tahun itu teruja memberi sentuhan air tangan dalam menghidangkan juadah berbuka puasa di sebuah restoran ‘istimewa,’ Kulcats Barrio.

Biarpun sibuk menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal, Nabila turut meluangkan masa di dapur restoran Kulcats Barrio milik teman rapatnya sekiranya ada kelapangan.

Menyediakan pelbagai menu masakan kampung seperti masak lemak ketam cili padi, ikan tenggiri tauchu atau telur berlada, Nabila bagaimanapun mengaku tidak setiap hari dia bertukar profesion menjadi cef.

Ujarnya: “Saya datang ke restoran ini setiap hari sejak Ramadan pertama. Selain sebab ada banyak kawan di sini dan saya sedang cuti berlakon, sesekali saya ‘gatal tangan’ mahu memasak. Kebetulan kerana menu di sini menyediakan bufet masakan kampung, jadi sesekali saya memasak untuk pelanggan yang datang.”

Menjawab persoalan mengapa dapur restoran tersebut sering menjadi lokasi pilihannya untuk melepaskan gian memasak, jelas raut wajah wanita itu berubah kemerahan saat memulakan bicara.

Biarpun enggan mengulas panjang tentang kisah peribadi, Nabila akhirnya mengaku restoran tersebut istimewa di hatinya kerana ada orang yang memegang ‘kunci hatinya’ di situ.

Laju juga dia kemudian memberitahu sedang dalam proses mengenali jejaka yang merupakan salah seorang daripada pemilik restoran tersebut.

Meletakkan hubungannya dalam zon selesa, Nabila bagaimanapun tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan berumah tangga dan menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan.

Paling penting, wanita itu sendiri mengakui telah bersedia untuk melangsungkan perkahwinan namun tarikhnya masih belum ditentukan.

Sebagai wanita yang pernah gagal dalam rumah tangga, dia tidak mahu percintaan kali ini menjadi sensasi sehingga mampu menggugat niat murni mereka berdua. Persoalan tentang bila dia kembali akan memegang status seorang isteri, Nabila memilih untuk menjadikan perkara tersebut sebagai tanda tanya dalam kalangan peminat.

“Seperti yang dikatakan, kisah peribadi saya biarlah menjadi simpanan sendiri tanpa perlu dihebahkan kepada umum. Namun, setiap perkara yang baik itu akan diberitahu jika telah sampai masanya.

“Besar harapan, dia menjadi insan terakhir dalam hidup saya. Tambahan pada usia sekarang membuatkan saya berasa tidak lagi sesuai untuk memulakan hubungan baharu,” ujar Nabila tanpa selindung.

Tambah Nabila lagi, sebagai seorang wanita yang realistik dan tidak mahu hidup dalam dunia dongeng ciptaannya sendiri dia tidak meletakkan kriteria penting buat bakal suaminya kelak namun, cukup sekadar lelaki itu mampu menerima dirinya dan menyayangi Keisha seperti anak sendiri.

Raya di Singapura


BIARPUN tidak dapat menyambut lebaran bersama Keisha pada Syawal pertama, Nabila akan memastikan segala persediaan anak tunggalnya itu lengkap menjelang raya.

Beralih kepada soal persiapan raya yang menjelang sekitar tiga minggu lagi, Nabila yang mesra disapa Abil itu meletakkan sambutan Aidilfitri secara sederhana tanpa perlu berbelanja lebih.

Setiap tahun persiapan menjelang Syawal lebih tertumpu kepada hidangan dan peluang menghabiskan masa bersama keluarga dan bertemu mereka.

Selain itu, Nabila memperuntukkan sebanyak tiga helai baju kurung buat dirinya dan Keisha, bersesuaian dengan sambutan buat Aidilfitri pertama sehingga ketiga.

Jika sebelum ini dia lebih gemar melakukan persiapan pada saat-saat akhir memandangkan kesibukan jadual penggambaran yang padat, namun berbeza pada tahun ini. Dia berazam untuk melakukan persiapan raya secara teratur.

Bakal meraikan Aidilfitri bersama keluarga sebelah ibunya di Klang, nada suara Nabila kedengaran sedikit sayu apabila dia tidak berpeluang menyambut Syawal bersama anak tunggalnya.

“Mengikut perancangan saya akan pulang ke kampung seminggu sebelum raya dan kemungkinan Keisha akan ikut bersama sehingga bapanya (bekas suami) datang menjemputnya nanti.

“Seterusnya, saya masih tidak mempunyai sebarang perancangan pada hari raya berikutnya, Namun jika berpeluang saya mungkin akan pulang ke Johor Bahru atau ke Singapura menziarah keluarga ‘teman baik’ saya,” katanya.

Tak suka kuih raya

Tiba sahaja pagi Syawal, pasti kelihatan biskut tart nanas, makmur dan semperit memenuhi bekas terletak elok bersama hidangan lemang, ketupat dan rendang sebagai kudapan tetamu yang datang bertandang.

Menjadi kebiasaan, juadah tersebut akan menjadi pelengkap pada setiap sambutan hari raya kerana ia bersifat tradisional serta mampu mengimbau semula nostalgia Syawal.

Bagaimanapun, berbeza buat aktres itu yang bukannya seorang pencinta kuih raya, sebaliknya lebih menggemari hidangan berat untuk dijadikan juadah utama setiap pagi Syawal.

Disebabkan hal itu, rakan-rakan dan ahli keluarga gemar memaksanya untuk memakan biskut-biskut yang dihidangkan saat berkunjung ke rumah kenalan serta sanak saudara.

“Terus terang saya sangat tidak menggemari kuih raya sehingga sering tertanya-tanya mengapa kebanyakan orang sanggup berbelanja sakan semata-mata untuk itu.

“Agak melucukan, sejak kecil sehingga sekarang, saya akan dipaksa untuk memakan makanan yang tidak digemari. Jadi untuk menjaga hubungan, terpaksalah dimakan juga,” jelasnya saat menutup bicara mengenai sambutan lebaran.

Previous Post Next Post