Alif Satar: Alisha penyeri rumah tangga



TIADA kata yang mampu diungkapkan bagi menggambarkan perasaan penyanyi dan pengacara Alif Satar ketika dirinya kini bergelar seorang bapa.

Menyaksikan sendiri isterinya, Sha Dila Halid bertarung nyawa melahirkan cahaya mata pertama mereka, Alisha Anugerah membuatkan Alif lebih menghargai pengorbanan insan kesayangannya itu.

“Alhamdulillah, kehidupan saya kini sudah berubah sepenuhnya. Pada ketika ini saya hanya sentiasa ada untuk isteri memandangkan apa yang dilaluinya ketika melahirkan anak kami bukanlah sesuatu yang mudah.

“Saya sendiri melihat bagaimana dia melahirkan Alisha dalam dewan bersalin dan susah payahnya menjadikan saya kini lebih bertanggungjawab bagi memastikan yang terbaik untuk keluarga saya.


“Sepanjang tempoh isteri berpantang, saya sendiri ambil alih semua tugasnya dan memang fokus saya pada keluarga buat masa ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Biarpun baru bergelar bapa, Alif akui dirinya tidak kekok menguruskan buah hatinya itu.

“Bab menjaga bayi ini sebenarnya saya sudah tahu lama, dan sekarang ia memudahkan saya untuk uruskan Alisha.

“Kalau dia meragam, saya tidaklah panik dan tahu bagaimana mahu uruskan keperluannya.

“Satu perasaan luar biasa dan saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu ungkapkan perasaan ini. Hanya orang yang sudah melalui fasa ini yang tahu bagaimana rasanya,” ujarnya penuh teruja.

Pada masa sama, Alif memberitahu kerjaya seninya berjalan seperti biasa namun terpaksa menolak tawaran yang memerlukannya bertugas di luar Kuala Lumpur.

Previous Post Next Post