Alyah lebih tenang



SELEPAS lebih kurang sembilan tahun aktif, Ramadan tahun ini penyanyi Datin Alyah memilih untuk memperlahankan karier seninya.

Lebih istimewa, tahun ini juga menjadi pengalaman pertama buat isteri kepada komposer hebat, Datuk Ramli MS meluangkan masa di samping keluarga dalam menjalani ibadah puasa.

“Setelah hampir sembilan tahun setiap kali bulan puasa jadual saya tetap sibuk dengan aktiviti seni tetapi pada tahun ini, saya tenang sikit dan memperlahankan aktiviti seni.

“Alhamdulillah, tahun ini saya banyak lebihkan masa bersama suami, ibu dan ibu saudara saya. Sebelum mereka menunaikan umrah kelmarin, saya memang luangkan masa ambil keberkatan Ramadan bersama mereka.

“Tahun ini juga berbeza, kerana saya dan suami lebih memilih untuk berbuka di masjid dan bagi saya ini peluang untuk saya manfaatkan masa yang ada dengan baik,” katanya ketika di temui pada majlis berbuka puasa bersama Sony Music Malaysia, di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.


Tambah Alyah, berbuka puasa di masjid banyak memberinya pengalaman yang berharga.

“Satu pengalaman yang menyeronokkan apabila kita dilayan sama seperti orang lain tanpa mengira apa pun status kita.

“Apabila waktu ambil juadah dan duduk untuk berbuka semuanya dilayan sama rata dan ini dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

“Tahun ini memang saya tidak ke bazar Ramadan sebab memang kami akan berbuka di masjid,” ujarnya.

Ditanya pula mengenai waktu sahur, Alyah mendedahkan suaminya mengambil alih tugasnya untuk memasak.

“Disebabkan saya ada gastrik, saya memang kena makan sahur, tapi yang masak adalah suami saya.

“Walaupun saya tidaklah ambil makanan yang berat, tapi suami saya rajin sediakan juadah yang lebih berat seperti ikan bakar dan asam pedas.

“Kalau bab makanan, dia memang seorang yang cerewet sebab itu dia lebih memilih untuk masak sendiri. Tugas saya hanyalah mencuci pinggan,” katanya sambil tertawa.

Previous Post Next Post