Amy Mastura: Langkah kecil jadi Muslimah sejati



MASIH bernaung di bawah syarikat Sony Music, Amy kini muncul dengan single terbaharu berjudul Jom Menari Ler.

MEMPUNYAI bentuk tubuh genit, raut wajah yang tidak dimamah usia, berperwatakan ceria dan bebas daripada gosip liar menjadikan insan seni bernama Amy Mastura antara figura sentiasa bersinar dalam lapangan seni tempatan.

Umum mengetahui, Amy, 44, sudah melangkah ke satu fasa baharu iaitu berhijab sebelum ketibaan Ramadan lagi.

Namun, kisah penghijrahan bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) tidak banyak diselongkar media.

Amy yang kelihatan manis dengan imej baharunya itu berkongsi cerita tentang gerak hatinya untuk menunaikan kewajipan menutup aurat yang selama ini tertangguh dalam hidupnya.

Pelantun lagu Bintang Hati itu ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim anjuran Sony Music di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Artis Meletop!: Apa khabar Amy? Bagaimana perasaan semenjak hari pertama berhijab sehingga sekarang?

AMY: Alhamdulillah, baik. Pada mulanya saya tidak tahu untuk mengungkapkan perasaan apabila ditanya soal berhijab. Namun, selepas dua minggu melakukan penghijrahan, saya rasa selesa dan berasa seperti kurang berdepan tekanan dalam hidup kecuali masalah tidak cukup tudung (ketawa).

Bercerita lanjut tentang keputusan untuk berhijab, bagaimana ia hadir dalam hidup anda?

Sejujurnya, perasaan itu datang secara pantas. Ia terjadi selepas saya terlibat dengan satu sesi fotografi untuk hari raya yang memerlukan saya berhijab. Saat itu, hati terusik untuk berubah. Saya memang suka melihat wanita berhijab dan pernah pada suatu ketika, saya mempersoalkan diri sendiri, mengapa tidak bertudung? Hakikatnya, saya gemar beli tudung untuk dihadiahkan kepada orang lain. Alhamdulillah, saya anggap perubahan ini sebagai rezeki Ramadan.

Apa perbezaan yang dirasai sebelum dan selepas berhijab?

Sejujurnya, saya berasa sangat tenang dan selesa. Saya tidak pernah berasa kekok, bahkan sepanjang berhijab, tidak pernah sekali pun saya terlupa untuk keluar rumah tanpa menutup aurat. Alhamdulillah, Tuhan permudahkan urusan saya. Tidak pernah juga terlintas perasaan rimas sepanjang mengambil keputusan untuk berhijab.

Bagaimanakah dengan penerimaan suami dan anak-anak tentang imej baharu anda?

Alhamdulillah, mereka terima seadanya. Pada mulanya, mereka berasa agak pelik, tetapi setelah hampir dua minggu saya bertudung, imej ini sudah menjadi suatu kebiasaan buat ahli keluarga.

Bagi sesetengah artis wanita yang berhijab, perjalanan seni mereka agak terhad dan mula bersifat selektif soal tawaran menyanyi mahupun berlakon, Bagaimana pula dengan pendirian anda?

Saya akan teruskan karier dalam bidang seni kerana penghijrahan ini bukanlah sesuatu yang drastik. Asalkan ia tidak mengganggu imej dan privasi saya sebagai wanita Islam, bidang ini akan terus menjadi periuk nasi saya.

Saya memulakan imej berhijab ini sebagai langkah kecil untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik, Insya-Allah. Sekiranya peminat sudah mendoakan agar saya berhijab, saya harap mereka panjangkan lagi doa itu agar kehidupan saya akan bertambah baik.

Sudah ada perancangan untuk menghasilkan jenama tudung sendiri seperti selebriti wanita lain?

Perancangan untuk ke arah itu tidak terfikir oleh saya memandangkan saya sendiri tiada ilmu dalam bidang perniagaan. Lagipun, tujuan utama saya bertudung bukan untuk berniaga. Namun, jika suatu hari nanti Tuhan memberikan saya rezeki dan idea untuk mengeluarkan jenama tudung sendiri, insya-Allah.

Bagaimanakah dengan pengisian Ramadan dan Aidilfitri anda tahun ini?

Seperti biasa, bulan Ramadan banyak masa dihabiskan untuk memenuhi jemputan menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak yatim. Tahun ini juga seperti biasa, saya sekeluarga akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Ipoh, Perak.

Sementara itu, selepas hari raya nanti, saya akan mula membuat promosi single terbaharu berjudul Jom Menari Ler. Lagu itu sudah boleh didengar dan dimuat naik menerusi Spotify, Vevo, Raku dan iTunes.

Previous Post Next Post