Anding selusuri rahsia Andalusia



SELAIN melihat keindahan dunia, perjalanan ke Anding ke Andalusia atau Sepanyol mendekat dirinya dengan cara kehidupan dan peninggalan Islam di Eropah.

Sepanjang Ramadan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjanjikan kelainan dalam program siarannya. Ia termasuklah tayangan sebuah program travelog istimewa sempena bertajuk Klik-Klik Andalus yang menampilkan Anding sebagai peneroka kota Andalusia atau kini dikenali sebagai Sepanyol.

Menerusi 13 episod, Klip-Klip Andalus yang disiarkan di saluran TVi bermula 19 Jun, setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 8.30 malam itu membawa Anding melawat Kota Lama Al Baizin, Mesquita De Granada dan Kasbah Ait Ben Haddou sebelum berakhir di Tapak Warisan Dunia di Bandar Sintra di Portugal.

Dalam episod Casablanca & Marrakech yang menjadi lokasi penggambaran pertama di Maghribi yang terletak di utara benua Afrika, tempat persinggahan pertama Anding ialah kota Casablanca, iaitu pintu masuk ke negara berkenaan.

Di situ penonton berpeluang melihat laut Atlantik dan sebuah masjid terbesar di Maghribi iaitu Masjid Hassan II yang mempunyai reka bentuk mengagumkan.

Anding kemudian menuju ke kota yang menjadi tumpuan ramai iaitu Marrakech. Tumpuan utama di Marrakech ialah Djama El-Finna iaitu sebuah pasar dan pusat komersial yang sudah berusia ribuan tahun. Berhampiran pasar berkenaan, tersergam Masjid Quttubia yang terkenal dengan menara tertinggi di Marrakech.


Keesokan harinya, selepas menikmati sarapan di Hotel Riad sambil menghirup pemandangan kota yang menakjubkan, penonton juga disajikan sebuah fenomena yang menjadi kebanggaan penduduk setempat mengenai sekawan kambing yang boleh memanjat pokok.

Terletak di barat daya Maghribi, episod berikutnya menuju ke sebuah bandar pesisir pantai yang dipanggil Essouirra. Di situ, penonton dapat melihat sekitar pekan kecil Essouirra, sebelum perjalanan Anding diteruskan ke Skala iaitu sebuah kota atau benteng yang menjadi muzium peperangan di situ.

Sebelum bergerak menuju ke pergunungan Atlas, Anding sempat menghampiri sebuah pasar nelayan yang menjadi pusat pengumpulan hasil tangkapan dan jualan ikan di Maghribi.

Di pergunungan Atlas pula, penonton berpeluang melihat perkampungan kaum Berber yang masih tinggal di situ.

Saksikan suasana kampung berkenaan yang diceriakan kehadiran sekumpulan kanak-kanak Berber menemani Anding semasa menerokai keunikan budaya masyarakat di situ termasuk aktiviti membuat barangan tembikar sebagai sumber pendapatan.

Anding turut menunjukkan percubaannya merasai makanan tempatan iaitu Tajine di sebuah lokasi bersebelahan Sungai Glacier.

Pada segmen episod berkenaan, Anding menuju ke sebuah pusat peranginan, Ski Resort terkenal di benua Afrika iaitu Oukaimeden yang terletak di pergunungan Atlas. Semasa di pusat peranginan itu, Anding turut mencuba bakat bermain sukan luncur ais snowboarding.

Dalam episod seterusnya, kembara Anding menuju ke selatan Maghribi iaitu Ourzazatte untuk melihat sendiri keindahan Gurun Sahara.

Destinasi pertama yang dilawati ialah Kasbah Ait-Ben Hadou. Kasbah merupakan sebuah kota kecil yang menjadi tempat tinggal beberapa kumpulan penduduk di padang pasir berkenaan. Menariknya, Kasbah sering menjadi tempat penggambaran filem-filem Hollywood.

Selesai penggambaran di Kasbah Ait Ben- Hadou, program berkenaan membawa penonton ke Gorge iaitu sebuah kawasan barbatu yang indah di Ourzazatte.

Sepanjang berada di padang pasir terbesar di dunia itu juga, Anding cuba menerokai sendiri suasana kehidupan masyarakat di sebuah penempatan yang dikenali sebagai Merzouga.

Antara pengalaman menarik yang dikongsi dengan penonton ialah keterujaannya menunggang unta menuju ke sebuah kawasan perkhemahan masyarakat Badwi di Sahara.

Dalam episod tersebut, perjalanan Anding turut dimeriahkan dengan gelagat pengembara dari negara lain.

Previous Post Next Post