Atikah Suhaime lebih berhati-hati



SEBELUM ini, pelakon Atikah Suhaime dilihat tidak pernah bercerita, apatah lagi berkongsi perihal peribadinya di laman sosial.

Namun baru-baru ini, tindakan bintang yang dilahirkan dari MIG memuat naik gambar mesranya bersama seorang lelaki dilihat menjerat Atikah untuk berbicara mengenai gerangan lelaki yang bersamanya itu.

Tidak menafikan lelaki tersebut adalah teman istimewanya, Atikah bagaimanapun dilihat lebih berhati-hati untuk terus berbicara mengenai perkara tersebut.

“Memang saya tidak sengaja muat naik gambar-gambar itu. Tujuan saya bukan untuk dedahkan siapa dia. Ia diambil sewaktu keluar ramai-ramai dengan kawan.

"Saya letak dalam Instagram dan tidak ada kapsyen yang spesifik. Tapi kalau ada yang bertanya saya tidak menafikan. Pada yang tahu, tahu, pada yang tidak tak apalah.

“Apa pun saya menghormati karier dia dan kalau boleh saya tidak mahu heret dia dalam situasi saya. Kami ada ibu bapa dan keluarga yang perlu didahulukan. Ia sekadar hubungan rapat dan tidak ada ikatan yang rasmi,” katanya ketika dihubungi Zass.


Ditanya adakah benar kerjaya kekasihnya sebagai juruterbang, Atikah lebih senang untuk mengunci mulut mengenai kerjaya teman lelakinya itu.

Bagi Atikah belum tiba masanya lagi untuk memberi sebarang penjelasan kerana dia mahu menumpukan kerjayanya sebagai seorang pelakon.

Malah, dia juga tidak mahu kekasihnya mendapat tempias sekiranya apa-apa berlaku terhadap perhubungan.

“Saya harap perkara ini tidak diperbesar-besarkan. Macam yang saya kata selagi tidak ada ikatan rasmi rasanya saya tak perlu ulas lanjut,” katanya.

Si cantik manis ini mengakui perkenalan terjalin sejak Februari 2015 secara kebetulan di sebuah salon kecantikan.

Ketika itu mereka terserempak dan masing-masing berurusan sebagai pelanggan di salon tersebut.

Previous Post Next Post