Awie Sebak Di Pentas Takkan Melayu Hilang Di Dunia


Awie ketika menyampaikan sebuah lagu dalam konsert Wings Ta'kan Melayu Hilang Di Dunia yang berlangsung di Istana Budaya pada Rabu malam.

Penyanyi Rock Awie sebak ketika menyanyikan lagu berjudul Ibu sewaktu mengadakan konsert Wings Ta'kan Melayu Hilang Di Dunia yang berlangsung di Istana Budaya pada Rabu malam.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, berkata sewaktu lagu itu dinyanyikan dia terkenang arwah ibu dan juga nasib anak-anaknya yang tiada kesudahan.


Awie tidak dapat menahan sebak ketika menyanyikan lagu berjudul Ibu.

"Saya berasa sangat sayu sewaktu menyanyikan lagu ibu tadi kerana terkenangkan ibu saya dan juga teringat anak-anak yang sudah berapa bulan tidak dapat bertemu.

"Kesedihan itu memang sukar nak digambarkan kerana ia lebih menekan emosi dalaman tetapi walau sukar mana sekalipun, hidup mesti diteruskan," katanya kepada mStar Online.


Perkahwinan bersama Rozana Misbun, Awie dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7 dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Terdahulu, hasil perkongsian hidup bersama bekas isteri Arni Nazira, Awie mendapat dua anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.

Selain itu, Awie berkata dia kini hanya tinggal dengan tiga orang anaknya dan dua orang lagi iaitu Rezzki dan Qasseh masih tidak dapat bertemu selepas berada bersama Rozana.


Anggota Wings bersama semua pihak yang menjayakan konsert Ta'kan Melayu Hilang Di Dunia.
Mengikut fakta kes, Mahkamah Syariah memberi hak penjagaan sementara tiga anak Awie kepada Rozana.

"Dua anak perempuan dan Merrah masih bersama saya dan hati ini terkilan kerana tidak mengetahui nasib anak saya yang ‘dilarikan’.

"Saya percaya selepas dilarikan, mereka tidak lagi menerima pelajaran penuh kerana tiada pertukaran sekolah dilakukan dari maklumat sekolah sebelum ini," katanya.

Sementara itu, mengenai konsert Wings Ta'kan Melayu Hilang Di Dunia, mereka berjaya melakukan eksperimen muzik dengan gabungan elemen rock dan irama tradisional.

Biarpun alatan tradisional sedikit tengelam kerana bunyi muzik moden lebih kuat impaknya tetapi hasil sentuhan tersebut secukup rasa dan sempurna.

Sebanyak 15 lagu dinyanyikan antaranya Hukum Karma, Bazooka Penaka, Sayap Ilusi, Sembunyi, Ranggi Metropolis, Tanjung Puteri, Inspirasi Taming Sari, Sejati dan Opera Hidup.


Awie turut mempamerkan kemahirannya bersilat.

Menerusi konsert ini, Wings cuba bawakan empat segmen mengikut abjad lagu popular mereka Alif Ba Ta dimana segmennya ialah Agama, Bangsa, Tanah Air dan ditambah satu lagi iaitu Keluarga.

Setiap selingan segmen diselitkan monolog atau bacaan puisi dari anggota Wings yang dibarisi Awie, Joe, Eddie dan Black.

Konsert yang dibawakan kali ini ternyata berbeza dan amat unik kerana sentuhan muzik rock Wings diiringi dengan Orkestra Traditional Malaysia bersama persembahan silat dari Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM).

Pada penutup konsert, Penaung PSSPGM, Datuk Raja Abdul Majid Mat Isa menyerahkan Anugerah Sandang Gayong buat Joe, Eddie dan Black sebagai tanda pengiktirafan kepada Wings kerana mengangkat warisan silat dalam persembahan.

Previous Post Next Post