Boby kembali dengan Ku Yang Terhebat



PENTAS Vokal...Bukan Sekadar Rupa musim pertama menjadi titik tolak buat pemilik nama Mohamad Janizam atau Boby mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian.

Mula jatuh cinta terhadap bidang itu sejak di bangku sekolah lagi, Boby tidak jemu mencuba nasib dalam beberapa uji bakat program realiti sebelum terpanggil menyertai Vokal Bukan Sekadar Rupa.

“Kalau diikutkan saya tidaklah begitu aktif dalam nyanyian sebelum ini. Tapi pada masa sama saya juga tidak melepaskan peluang mencuba nasib dalam uji bakat program-program nyanyian.

“Alhamdulillah, saya juga tidak sangka Vokal...Bukan Sekadar Rupa beri saya platform baik untuk memulakan karier sebagai seorang penyanyi walaupun masih banyak perkara yang perlu saya perbaiki,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai perkara itu, Boby akui lebih kurang tiga bulan menyertai program tersebut, banyak pengalaman berharga diperoleh dan menyedari perjalanan seorang penyanyi bukanlah mudah seperti yang dijangka.


“Walaupun saya hanya mampu bertahan sehingga minggu yang keempat, tapi apa yang saya boleh katakan, saya jadi lebih berpengetahuan dalam bidang ini.

“Bukan sahaja dari segi teknik nyanyian, malah setiap persediaan dari segi mental dan fizikal saya belajar dan ilmu itu jugalah bekalan saya untuk meneruskan karier ini,” ujarnya.

Selepas tiga tahun menyepi, kini Boby yakin kemunculannya dengan buah tangan pertama Ku Yang Terhebat mampu melonjakkan nama dan bakatnya bersaing dengan penyanyi lain.

“Baru-baru ini, saya menerima tawaran daripada Hazac Records untuk bernaung di bawah pengurusan mereka dan tahun ini juga saya tampil dengan single pertama.

“Biarpun mereka bukanlah nama besar namun saya selesa bekerjasama memandangkan mereka memahami hala tuju muzik yang saya mahukan.

“Saya benar-benar yakin single ini bakal mengembalikan ingatan peminat terhadap diri saya.

“Saya yakin single ini juga mampu bersaing dengan lagu-lagu lain dan saya mengharapkan pendengar dapat menerimanya dengan baik,” katanya penuh teruja.

Ubah penampilan

Akur pasaran hiburan mementingkan pakej seseorang artis berbanding bakat semata-mata, Boby akui dia kini sedang berusaha mengubah penampilannya.

“Saya sedar keadaan industri hiburan sekarang lebih mementingkan pakej dan bakat jatuh kepada perkara ke dua.

“Insya-ALLAH, buat masa sekarang ini memang saya berusaha untuk mengubah pakej dan penampilan.

“Tapi tidaklah bermakna penyanyi bersaiz besar seperti saya tidak boleh berjaya malah banyak contoh yang membuktikan saiz bukan ukuran, Cuma saya hanya mahu lakukan yang terbaik,” jelasnya.

Previous Post Next Post