Che Ta makin laris


Che Ta

KALAU sebut nama Rozita Che Wan, pasti terbayang betapa anggunnya dia, betapa jelitanya dan berkarismanya dia.

Bukan sahaja memiliki rupa paras dan tubuh yang cantik, Che Ta juga memiliki personaliti yang menawan dan ramah dengan orang sekeliling.

Maka tidak hairanlah rezeki Che Ta sebagai duta produk semakin hari semakin mencurah-curah.

Ibu kepada bayi perempuan bernama Aaisyah Dhia Rana hasil perkahwinan bersama pelakon Zain Saidin ini, telah pun mewakili sembilan produk kesemuanya manakala dua lagi bakal ditandatangani selepas Aidilfitri.

Antara produk yang menjadikan Che sebagai duta adalah Safi Rania Gold, Rysya, Longevite dan produk pelangsingan Idola.

Terbaharu, khabarnya Che Ta bakal menandatangani produk kecantikan dan pembersihan peribadi wanita (hygine wash).

"Alhamdulillah rezeki jadi duta semakin banyak. Seronok sebenarnya jadi duta. Tak penat sangat. Sesuai dengan saya yang ada anak kecil ini," kata Che Ta.

Sedar tak sedar, rupa-rupanya sudah hampir setahun Che Ta tidak berlakon dan menjalani mana-mana penggambaran.

Mungkin ramai yang tidak perasan akan keadaan itu kerana nama dan wajah pelakon jelita ini masih sering bersiaran di drama-drama ulangan beberapa saluran televisyen.

“Saya memang sengaja tak ambil projek berlakon. Nak berehat. Sekarang tengah fokus kepada jadi duta produk sahaja. Tak larat dah nak berlakon sebab anak kecil lagi. Saya banyak habiskan masa di rumah menjaga anak,” katanya.

Begitu pun Che Ta masih memenuhi tawaran untuk program bual bicara RTM Teh Tarik Bersama Che Ta serta memenuhi undangan ke booth di bazar Ramadan.


Simpan duit anak

Ditanya mengenai kerjaya Aisyah yang kini mendapat perhatian sebagai duta produk, Che Ta berkata ia dianggap sebagai rezeki untuk masa depan dan simpanan Aisyah.

“Duit yang Aisyah dapat saya simpan. Saya nak bila dia umur 18 tahun dia dah ada duit sendiri. Buat masa ini saya dan Zain cuma benarkan Aisyah jadi duta produk. Berlakon tidak. Tapi kalau penampilan khas dalam drama ke filem itu boleh dibincang,” katanya.

Anak sulung Che Ta Ammar Effendy kini sedang melanjutkan pelajaran di University Help dalam jurusan ekonomi.

Bagi menikmati momen indah berkeluarga, Che Ta berkata, beliau dan suaminya telah merancang untuk mengadakan percutian keluarga selang empat bulan sekali sepanjang tahun.

“Lokasi percutian tu tak kisah di mana. Asalkan bercuti. Itulah sahaja masa terbaik dan berkualiti untuk kami habiskan bersama-sama.

Zain kini sibuk dengan penggambaran telemovie Oh My English. Saya pula di rumah uruskan anak-anak dan sesekali memenuhi penggambaran sebagai duta produk. Kalau boleh memang nak negara yang sejuk-sejuk saja” katanya yang bercuti di London bersama keluarga baru-baru ini.

Previous Post Next Post