Dendam Maya Karin dalam Nota


Maya teruja berlakon dalam filem Nota kerana ia menggunakan tenaga produksi dari Jepun dan Jerman.

Kakinya terpasak, malah jiwanya bergelojak apabila menerima tawaran filem Nota. Dia tidak akan sesekali mengetepikan naskhah sebaik itu yang memang diimpikan aktres Maya Karin selama ini.

Ibarat serampang dua mata, filem Nota merupakan satu projek yang memberikan dua faedah kepada aktres kelahiran Jerman itu.

Ia kerana, buat pertama kalinya Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik 2004 menerusi Pontianak Harum Sundal Malam itu dapat bekerjasama dengan pengarah fotografi dari Jerman dalam filem arahan pengarah dari Jepun, Yasu Tanaka itu.

“Saya tertarik dengan karya ini (Nota) sebab pengarahnya dari Jepun. Apa yang menarik lagi minat saya adalah kerana dapat bekerja dalam produksi yang menggunakan tenaga kerja fotografi dari Jerman.

“Mungkin orang lain tidak melihat daripada sudut itu, tetapi bagi saya, tugas pengarah fotografi dalam sesebuah filem sangat penting. Ia menjadikan sesebuah filem itu menarik ditonton daripada sudut sinematografinya.

“Saya memang menyukai hasil fotografi filem orang Jerman. Setiap kali saya menonton filem Jerman, terdapat satu keistimewaan dalam sinematografi mereka,” ujar Maya yang membawa watak Erin dalam filem thriller itu.


Kali terakhir Maya berlakon dalam filem thriller adalah menerusi Pontianak Harum Sundal Malam pada 2004. Kesempatan kali kedua berlakon dalam filem thriller menerusi Nota akhirnya dapat mengubat kerinduan pelakon jelita itu.

Saya membiarkan aktres berdarah campuran Melayu dan Jerman itu meneruskan perkongsiannya berlakon dalam filem terbitan 42nd Pictures Sdn. Bhd. itu.

Bergandingan bersama Hans Isaac dalam filem itu, kata Maya, Nota menuntutnya berlakon tanpa berpandukan dialog yang sarat.

Biarpun sebanyak 70 peratus filem itu tidak menggunakan dialog, namun Maya yakin filem tersebut dapat menarik minat penonton menerusi sinematografi cantik yang terdapat dalam filem itu.

“Filem ini tidak menggunakan dialog yang banyak. Jadi, saya perlu memberikan lakonan yang terbaik.

“Saya juga mengakui pada mulanya agak sukar berinteraksi dengan pengarah Yasu kerana dia tidak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris. Saya pula tidak tahu langsung bercakap dalam bahasa Jepun. Komunikasi antara pelakon dengan pengarah memang sangat penting.

“Jadi, kami sentiasa berbincang menggunakan orang tengah dan saya sendiri cuba memahami kehendaknya untuk menjayakan filem ini,” ujar Maya yang berlakon sebagai isteri Hans dalam filem itu.

Bunuh

Berkongsi lanjut mengenai filem itu, penerbitnya, Bea Tanaka memberitahu, Nota mengangkat kisah suami isteri iaitu Erin dan Kamal yang tidak dikurniakan zuriat meskipun sudah berkahwin selama 10 tahun.

“Hubungan yang semakin hambar membuatkan Erin dan Kamal mengambil keputusan ke Taman Negara Bako, Sarawak untuk bercuti. Malangnya, hubungan mereka menjadi semakin ‘tenat’ apabila Erin mengetahui Kamal mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

“Dalam keadaan sedih dan tertekan, antara cinta dan benci, Erin merancang satu pembunuhan dengan menggunakan nota yang ditulis Kamal,” jelasnya mengenai filem yang bakal menjengah pawagam pada 13 Ogos depan.

Bae mengakui, dia memilih Maya dan Hans sebagai teraju utama kerana populariti mereka, bahkan keupayaan kedua-dua pelakon itu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik. Selain itu, Hans dan Maya juga tahan lasak melakukan aktiviti melibatkan air dan hutan.

“Hans berlakon sebagai doktor dalam filem ini dan kami rasa watak itu memerlukan kebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan fasih. Kami rasa Hans boleh membawakan watak ini dengan bagus. Kami juga mengenali Hans sejak tahun 2009 lagi dan menghargai sikap profesionalnya.

“Maya pula, kami tahu dari peringkat praproduksi lagi penggambaran akan melibatkan sebanyak 80 peratus babak lasak yang melibatkan air dan hutan. Jadi, kami memerlukan seorang pelakon yang tahan lasak seperti Maya,” jelasnya.

Berkongsi cabaran menjayakan filem Nota, kata Bae, kebanyakan penggambaran melibatkan sungai di Kampung Bako. Disebabkan itu, pihaknya perlu membuat banyak persediaan dari segi mengkaji jadual air pasang surut Sungai Sarawak.

“Kami menghabiskan masa lebih kurang setahun dalam proses praproduksi dan menyiapkan ‘storyboard’ setelah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri Sarawak,” ulasnya yang mengakui filem itu meninggalkan momen peribadi kepada dirinya dan kru produksi lain kerana salah seorang pelakon iaitu Ramli Hassan, anak jati Kampung Bako, meninggal dunia sebelum sempat menyaksikan filem ini berada di pawagam.

Previous Post Next Post